Sorting by

×

Pulau peranginan utama dijangka buka awal Sept – Nancy

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian  boleh mencapai imuniti kelompok hujung bulan ini dan dibuka semula awal bulan depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan hari ini, bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan kerajaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang akan ditentukan.

“Cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksana dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19 dan menyebabkan penutupan semula dibuat.

“Pada masa sama, MOTAC sedang mengemas kini dan menyiapkan SOP berkaitan sektor pelancongan,” katanya.

Menurut Nancy, beliau hari ini mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri pelancongan supaya golongan berkenaan bersiap sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutama melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara dalam masa terdekat.

Sesi itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri agar persediaan rapi dapat dilakukan sebelum pembukaan sektor pelancongan dilaksanakan, katanya.

Beliau berkata sesi libat urus itu selaras dengan pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengenai kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap dengan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan hotel dan inap desa.

Nancy berharap semua pihak yang terlibat dapat bergerak dalam satu arah bagi memastikan setiap perancangan serta strategi direncanakan berjalan lancar.

Antara persatuan terlibat dalam sesi libat urus itu ialah Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia serta Persatuan Spa Malaysia.

 


RMI ERE DCLanggani saluran
Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

727
Kongsi :
Previous post Lebih 300,000 individu terima vaksin menerusi MOVAK
Next post Kilang di Tangga Batu, Bachang cetus kluster baharu
Ubah saiz-+=