Sorting by

×

“Menyesal tak ambil vaksin awal” – Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

JASIN 14 Ogos – “Kalau saya tidak mudah percaya cerita orang, pasti saya sudah lengkap dua vaksin hari ini,”.

Itu reaksi spontan Dolah Rochok, warga emas Orang Asli suku Temuan Kampung Seraya yang hadir hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin untuk menerima vaksin pertamanya.

Dolah, 60, berkata, dia sepatutnya divaksin bulan lalu tetapi disebabkan terpengaruh dengan cerita di media sosial kononnya ada keburukan mengambil vaksin menyebabkan dia membatalkan hasrat tersebut.

“Anak-anak yang nasihatkan saya agar datang hari ini di Dewan Alamanda untuk mengambil vaksin pertama saya, kalau bulan lalu saya berbuat demikian pasti hari ini saya sudah lengkap dua dos vaksin.

“Saya terpengaruh dengan cerita menakutkan tentang vaksin sebab itu saya tidak mahu ambil tetapi hakikatnya cerita tersebut tidak betul. Tadi, sekejap sahaja vaksin diberi malah tak rasa sakit apa-apa pun,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Alamanda Jasin.

DOLAH Rochok menunjukkan isyarat bagus sewaktu menunggu giliran mengambil vaksin pertamanya di PPV Dewan Alamanda Jasin.

Dolah antara 44 Orang Asli yang hadir hari ini mengambil suntikan vaksin pertama mereka di PPV Alamanda Jasin membabikan lima kampung di Jasin iaitu Kampung Seraya, Kampung Gapam, Air Sialang, Solok Terentang dan Lubok Bandung.

Mereka antara kumpulan Orang Asli sebelum ini yang gagal hadir mengambil suntikan vaksin pertama sebelum ini.

Selain Dolah, Malini Latif, 23, berkata, dia tidak hadir pada janji temu pertama pengambilan vaksin pertama bulan lalu kerana bimbang dengan kesan vaksin seperti yang dibaca di media sosial.

Namun dia akhirnya berubah fikiran selepas diberikan penjelasan lanjut berhubung program vaksinasi, malah kini dia lebih yakin vaksin begitu penting dalam mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah/ Jasin Adzrien Ab Rahim berkata, seramai 535 masyarakat Orang Asli yang layak menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 374 individu telah lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Setakat ini program vaksinasi di Jasin telah mencapai hampir 70 peratus dan sambutan dalam kalangan Orang Asli semakin memberangsangkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

701
Kongsi :
Previous post Allahyarham Samsudin selamat dikebumikan
Next post Lebih 300,000 individu terima vaksin menerusi MOVAK
Ubah saiz-+=