Tiada tindakan peniaga ‘sangkut’ bayar sewa kedai

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengamalkan pendekatan bertimbang rasa terhadap semua peniaga di kawasan itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, disebabkan ramai peniaga terjejas, pihaknya tidak akan mengambil tindakan ke atas mereka.

Ia termasuk tidak menghalau mereka sekiranya ada peniaga tertunggak bayaran sewa atau tidak mampu membayar sewa premis MPHTJ sepanjang tempoh sukar ini.

“Pendekatan kita, ialah cuba menyelami masalah mereka. Kita faham dalam keadaan ekonomi semasa ramai yang terjejas.

“Jadi di pihak MPHTJ, kita masih boleh bertimbang rasa sekiranya ada peniaga yang tidak mampu yang mana bayaran sewa boleh dibuat secara ansuran sehingga ekonomi mereka kembali stabil.

“Jika ada tunggakan sekali pun, ia tidak akan dikira sebagai denda lewat dan kita juga tidak akan mengambil tindakan selagi PKP berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengenai isu peniaga kacang pool di Medan Selera Ayer Keroh yang tular baru-baru kerana terpaksa keluar dari rumah sewa dan menginap di medan berkenaan, Shadan berkata, pihaknya turut mengambil berat dengan mengadakan lawatan dan menyantuni peniaga terbabit.

Katanya, hasil pertemuan itu, peniaga berkenaan mengakui terkejut dan malu apabila kisahnya ditularkan di seluruh negara memandangkan situasinya tidaklah seteruk digambarkan.

Namun, peniaga itu mengakui hasil jualannya sedikit terjejas menyebabkannya terpaksa mengambil pendekatan drastik keluar dari rumah yang disewa RM700 sebulan sebelum ini.

“Peniaga ini sebenarnya bujang, berasal dari Johor dan anak kepada peniaga kacang pool terkenal di Larkin. Jadi, dia tidaklah susah seperti digambarkan dan dia juga terkejut apabila kisahnya tular.

“Cuma di pihak MPHTJ kita ada beri teguran kepadanya bahawa tempat berniaga tidak boleh dijadikan tempat penginapan kerana kita risau kebersihan premis perniagaan itu akan terjejas.

“Jadi dalam tempoh ini, dia bersetuju untuk mencari rumah sewa lebih murah dan untuk sewa premis tiga bulan yang tertunggak, kita tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post Empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan di kem TUDM Kota Samarahan
Next post RiVAC sasar 800 penerima vaksin sehari – Ismail
Ubah saiz-+=