Agong, permaisuri, zahir ucapan takziah kepada keluarga Dato’ Indera Mustafar

Masa Membaca:45 Saat

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan Negeri Pahang Darul Makmur Dato’ Setia Wangsa Dato’ Indera Mustafar Abu Bakar yang meninggal dunia semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham selaku Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan kepada kesultanan Pahang, masyarakat dan negeri Pahang,” menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

794
Kongsi :
Previous post Usul undi percaya terhadap PM dibentang di Parlimen 7 September
Next post Darah ‘pahlawan’ Melaka dihantar ke Lembah Klang
Ubah saiz-+=