Kluster kilang minimum jika pematuhan SOP diperketat
Oleh Liana Sahabudin dan Nur Iliyana Zainis Zainal
BATU BERENDAM 12 Ogos – Pertambahan kes COVID-19 bagi kluster kilang boleh diminimumkan sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih diperketatkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya mahu semua sektor perkilangan mengadaptasi budaya penjagaan SOP yang betul berbanding terus menyalahkan pihak lain.
“Jangan salahkan industri perkilangan sebagai punca berlakunya peningkatan kes COVID-19 di negara ini.
“Majikan juga perlu melihat garis panduan berdasarkan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Sekiranya ia dapat dilakukan, saya yakin kita dapat mengatasi jangkitan yang kita lihat hari ini dengan lebih baik dan tidak menyalahkan kluster kilang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kilang elektronik di Batu Berendam, di sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya akan mengusulkan perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengizinkan pengoperasian penuh mana-mana kilang yang dapat memenuhi Akta 446 tersebut.
“Sekiranya mereka memenuhi akta itu dan melengkapkan dos vaksin, maka kita benarkan ia dibuka tetapi tentu saja tertakluk pada situasi COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.