27 permohonan pasangan jarak jauh diluluskan
AYER KEROH 12 Ogos – Polis Melaka menerima 27 permohonan rentas daerah dan negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap menerima suntikan setakat kelmarin.
Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, permohonan itu diterima sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumkan kelonggaran itu pada Ahad.
“Daripada jumlah itu, 22 permohonan diterima dari daerah Melaka Tengah manakala empat di daerah Alor Gajah dan satu di Jasin.
“Bagaimanapun, tiada permohonan ibu bapa yang mahu berjumpa anak berusia 18 tahun ke bawah untuk merentas daerah atau negeri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Ahad lalu, Muhyiddin mengumumkan kelonggaran bagi penerima dua dos vaksin yang antaranya memberi manfaat kepada pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah dan negeri.
Dalam pengumuman itu, kebenaran sama turut diberikan kepada ibu bapa bertemu anak masing-masing berusia 18 tahun ke bawah.
Dalam pada itu, Nik Ab Halim memaklumkan, polis menerima keseluruhan 959 permohonan kelmarin membabitkan pelbagai alasan termasuk kes kecemasan.
Jelasnya, daripada jumlah itu 40 permohonan diluluskan bagi kes ziarah kematian manakala 53 lagi dibenarkan bagi tujuan kecemasan.
“Sebanyak 234 permohonan diluluskan bagi alasan bekerja dan 632 lagi permohonan atas alasan kecemasan lain mengikut budi bicara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.