Warga Amerika Syarikat pilih Malaysia sebagai ‘rumah kedua’

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

MELAKA 11 Ogos – Kira-kira 44 tahun dahulu semasa kali pertama Mark Ruffin menjejakkan kaki ke Malaysia, beliau sama sekali tidak menyangka akan menjadikan negara ini sebagai ‘rumahnya’.

Warga Amerika Syarikat berusia 66 tahun itu berkata, keunikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama serta keindahan negara ini membuatkan hatinya tertarik untuk terus tinggal di tanah bertuah ini.

Berasal dari Indiana, Ruffin berkata beliau kemudiannya berpindah ke Brussels, Belgium untuk bekerja bersama ayahnya di sebuah syarikat pertahanan yang membekalkan peluru bagi kereta kebal sekitar 1970-an.

“Pertama kali mendengar tentang Malaysia, saya terpaksa membuka ensiklopedia untuk mengetahui tentang negara ini. Maklumlah, ketika itu masih tiada capaian jalur lebar dan semuanya harus dilakukan secara manual.

“Sepanjang 12 tahun bertugas di syarikat pertahanan itu, saya mengembara ke banyak negara dan Malaysia satu-satunya mempunyai masyarakat yang paling penyabar saya pernah jumpa di rantau Asia Pasifik ini,” katanya yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama ketika ditemui di Klebang di sini.

Ruffin yang membesar dengan hobi belayar, memburu, mendaki gunung dan bermain muzik, pada mulanya membeli sebuah bot lalu bersauh di Pelabuhan Klang, Selangor, dan mendapati keadaan airnya yang tidak begitu memuaskan, sebelum beliau belayar ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Di Port Dickson, saya mendapati keadaan pasang surut air laut yang terlalu jauh dari pantai sebelum seorang rakan mencadangkan agar saya belayar ke Tanjung Kling di sini.

“Setibanya saya di Melaka, saya dapati keadaan pantainya amat menarik, lantas saya membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah bersama seorang rakan untuk dijadikan sebagai rumah hujung minggu,” katanya.

Digelar sebagai Grandfather of Camper Van Malaysia, Ruffin yang juga pengendali kumpulan Facebook My Campervan Malaysia berkata beliau juga membeli sebuah ‘camper van’ dan menjelajah ke seluruh pelosok semenanjung Malaysia menggunakan kenderaan itu bersama isterinya.

“Ketika 1980-an, ancaman komunis masih ada. Memandangkan saya bekerja di syarikat pertahanan, sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan melaporkan diri di mana-mana balai polis ketika melakukan aktiviti berkhemah dengan ‘camper van’ yang saya miliki,” katanya.

Katanya kali terakhir beliau pulang ke negara asalnya adalah pada 1989 ketika bapanya meninggal dunia, dan beliau kemudiannya memutuskan untuk berhenti kerja selepas mewarisi sejumlah wang simpanan.

“Mendiang bapa saya yakin saya mampu melakukan sesuatu dengan baik kerana saya mempunyai kesungguhan, dan dengan wang simpanan yang diberikan, saya membuka sebuah resort selepas membeli dua unit rumah banglo di Tanjung Kling untuk disewakan sebagai tempat berehat kepada mana-mana individu yang berminat.

“Di resort itu juga, saya membuka restoran dan menjemput kumpulan muzik dari sekitar negeri ini untuk bermain di sana. Antara pemuzik yang menarik perhatian saya adalah Sham Kamikaze yang pernah dijemput untuk bermain,” katanya.

Selepas mengharungi jatuh bangun dalam bidang perniagaan, Ruffin kini membuka sebuah tapak perkhemahan khusus bagi peminat ‘camper van’ di Klebang yang diusahakannya bersama seorang rakan sejak lapan bulan lepas, namun dek penangan COVID-19, tapak perkhemahan itu kini memang agak lengang.

“Malaysia mempunyai banyak tempat pelancongan menarik yang boleh dikunjungi dan diteroka. Rakyat Malaysia tidak perlu ke luar negara sebenarnya. Cukup dengan aplikasi Google Earth, anda boleh mencari lokasi yang menarik untuk diteroka.

“Ketika ini, aktiviti pelancongan menggunakan ‘camper van’ semakin digemari rakyat Malaysia dan ia berpotensi untuk dibangunkan jika agensi terlibat boleh duduk semeja dan membangunkan dasar yang sesuai untuk aktiviti berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Sindiket jual darjah kebesaran palsu calar imej kerajaan negeri
Next post Lelaki warga emas temu ajal gantung diri
Ubah saiz-+=