Sorting by

×

Peniaga kacang pool ‘tular’ dibantu

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Kisah peniaga kacang pool Medan Selera Ayer Keroh yang tular di Facebook baru-baru ini mendapat perhatian beberapa pihak yang prihatin menghulur bantuan.

Antara pihak tampil membantu adalah Japerun Ayer Keroh, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan MIC Taman Muzaffar Shah yang masing-masing membawa kit makanan berupa beras, minyak masak, telur dan makanan segera lain.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Mohd Arif Yusa berkata, pihaknya simpati dengan masalah dihadapi peniaga terbabit yang hanya mahu dikenali Oyed yang terpaksa tinggal di kedainya sejak sebulan lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM700 didiaminya sebelum ini.

MOHD ARIF (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Oyed sambil diperhatikan Shadan di kedai peniaga itu di Medan Selera Ayer Keroh.

“Dia terpaksa tinggal di kedai disewanya pada kadar RM500 dengan pihak MPHTJ sejak sebulan lalu kerana perniagaan kacang pool yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu kurang mendapat sambutan akibat pandemik COVID-19.

“Jadi, pihak Japerun Ayer Keroh akan membantu Oyed mencari rumah sewa agak murah sekitar RM250 berhampiran Medan Selera Ayer Keroh,” katanya ditemui pada lawatan itu.

Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman dan Pengerusi MIC bahagian Hang Tuah Jaya, P Ambalahan.

Menurut Mohd Arif, pihak MPHTJ juga bersetuju membenarkan Oyed tinggal sementara di situ sebelum dia berpindah ke rumah sewa baharu nanti.

Katanya, MPHTJ juga bertolak ansur untuk tidak memaksa peniaga itu menjelaskan segera bayaran sewa tertunggak berjumlah RM1,146 kerana memahami situasi sukar dihadapinya.

“Mujurlah sekarang kadar sewa kedai MPHTJ dikurangkan 25 peratus sehingga Disember ini, jadi peniaga hanya bayar sewa sekitar RM250 sebulan…maka ringanlah sedikit beban kewangan mereka yang terkesan akibat pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Arif berkata, pihaknya prihatin dengan nasib golongan terjejas COVID-19 dan bersedia menyalurkan bantuan sewajarnya.

AMBALAHAN menyampaikan sumbangan kit makanan kepada Oyed

Katanya, pihak Japerun Ayer Keroh sentiasa mengalu-alukan kunjungan masyarakat DUN Ayer Keroh yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang terputus barangan keperluan harian.

“Kita mahu memastikan setiap anggota masyarakat DUN Ayer Keroh tidak kira usia mahupun berbeza latar belakang budaya mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Untuk rekod ketika ini DUN Ayer Keroh mempunyai 26,068 pengundi melibatkan lapan JPKK; 32 taman perumahan manakala kemudahan infrastukturnya terdiri enam masjid; 24 surau, lapan sekolah rendah serta empat sekolah menengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1137
Kongsi :
Previous post Sindiket jual darjah kebesaran palsu Melaka tumpas
Next post Sindiket jual darjah kebesaran palsu calar imej kerajaan negeri
Ubah saiz-+=