Anggota polis maut terbabas di Jempol
SEREMBAN 11 Ogos – Seorang anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, dekat sini, maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, mangsa Koperal J Vimel, 34, meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di kepala dalam insiden kira-kira jam 3 pagi itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan balik daripada penugasannya memandu dari arah Bahau menghala ke IPD Jempol dan dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Personanya.
“Mangsa kemudian terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing serta tiang elektrik di bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Jempol yang tiba di lokasi kejadian.
“Tiada unsur jenayah berhubung kemalangan ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau berkata mayat mendiang akan dihantar ke negeri kelahirannya, Sarawak secepat mungkin dengan segala kos penghantaran, pengebumian dan kebajikan ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.