Tempoh lama merawat pesakit varian Delta antara faktor HM sesak

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER MOLEK 10 Ogos – Penularan varian Delta di negeri ini mengakibatkan tempoh rawatan pesakit COVID-19 bagi kategori tiga hingga lima di Hospital Melaka (HM) berlanjutan hingga sebulan.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keadaan itu menjadi antara faktor Jabatan Kecemasan HM sesak sehingga ada dalam kalangan pesakit terpaksa dirawat di kerusi malas atau kerusi roda.

Katanya, bagi mengatasinya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menambah katil di wad termasuk di dewan bedah.

“Namun oleh kerana varian baharu kali ini menyebabkan tempoh rawatan itu berpanjangan di hospital.

“Jika dulu seminggu hingga dua minggu (pesakit) sudah boleh keluar hospital, namun sekarang dalam tempoh antara tiga minggu hingga sebulan masih belum tentu keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kebun ubi di Bukit Nibong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kehadiran pesakit akibat varian itu juga meningkat setiap hari mengakibatkan HM sentiasa sesak dengan pesakit.

“Kita juga telah menghentikan penerimaan pesakit untuk dirawat di Hospital Alor Gajah disebabkan hospital itu didapati tidak sesuai untuk merawat pesakit COVID-19.

“Hospital itu kita hentikan berikutan keadaan pendingin hawa di situ ‘centralised’ jadi ia tidak sesuai manakala Hospital Jasin masih diteruskan untuk merawat pesakit itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keadaan membimbangkan di Jabatan Kecemasan HM yang sesak sehingga mengakibatkan ramai pesakit terpaksa ditempatkan di kerusi malas dan kerusi roda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post JKN tambah 120 katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka
Next post Tulisan terakhir buat Siti Sarah…
Ubah saiz-+=