Hospital Melaka akan terima dua kontena mayat
AYER MOLEK 10 Ogos – Dua kontena setiap satu boleh memuatkan 20 mayat bakal diterima Hospital Melaka (HM) dalam masa terdekat.
Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman menjelaskan kontena itu sebagai persediaan untuk menampung peti simpanan mayat yang menghampiri tahap maksimum.
Menurutnya, satu daripada kontena itu dipohon daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebuah lagi bakal disumbangkan orang perseorangan.
“Di Hospital Melaka kita mempunyai 26 peti simpanan mayat dan ada masanya baru-baru ini ia telah menempatkan 22 mayat dan hanya ada baki empat sahaja peti.
“Jadi ia sebagai persiapan memandangkan pengurusan jenazah COVID-19 adakalanya memakan masa yang lama kerana perlu melalui bedah siasat dan sebagainya.
“Sebelum ini kita tidak mempunyai kontena peti mayat lagi dan dengan adanya dua buah kontena itu setiap satunya mampu menempatkan 20 mayat pada satu-satu masa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Rahmad berkata, kontena peti simpanan mayat itu akan ditempatkan di kawasan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka apabila tiba nanti.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bagi jenazah bukan Islam pula, pihaknya juga telah mempercepatkan proses pembakaran mayat COVID-19 dengan melanjutkan operasi pembakaran sehingga malam.
“Dengan cara ini, ia akan membantu mempercepatkan proses pengurusan mayat, sekali gus mengelakkan daripada peti simpanan mayat kita penuh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.