Sorting by

×

Bekalan oksigen Hospital Melaka dapat diatasi

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER MOLEK 10 Ogos – Kekurangan bekalan oksigen di Hospital Melaka (HM) telah kembali pulih dan dijangka dapat diatasi sepenuhnya pada 22 Ogos ini.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah kekurangan itu yang sebelum ini dilaporkan kritikal bagi merawat pesakit COVID-19.

Katanya, langkah drastik yang dilakukan ketika ini adalah memasang alat pengatur atau ‘regulator’ oksigen baharu di platform ‘manifold’ bagi meningkatkan semula paras bacaan oksigen di HM.

“Dengan pemasangan itu, bermakna bacaan (oksigen) di hospital berkenaan berada di paras lebih daripada empat bar.

“Ini bermakna bilik bedah yang sebelum ini kita tutup kerana bekalan oksigen rendah boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di kebun ubi di Bukit Nibong dalam program agihan sumber pertanian itu kepada masyarakat setempat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata JKN juga mengambil langkah menaik taraf ‘manifold’ tabung oksigen yang dijangka siap sepenuhnya pada 22 Ogos ini.

“Pembelian oksigen d luar kontrak juga telah dibuat dan berjalan dengan baik.

“JKN turut melaksanakan projek Micro Filling Plan atau loji pengisian oksigen yang telah pun diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ini bermakna bekalan oksigen kita telah kembali pulih.

“Bekalan oksigen HM akan pulih sepenuhnya selepas (kedua-dua) projek siap pada 22 Ogos ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan HM mengalami kekurangan bekalan oksigen dengan Jabatan Kecemasan hanya memiliki enam port oksigen yang bersambung dengan bekalan oksigen berpusat.

Malah, MHI turut melaporkan kekurangan tekanan ‘wall oxygen’ di hospital berkenaan terlalu rendah pada tahap 2.0 bar sekali gus berada di paras kritikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post Prospek hartanah: Naik, turun atau tidak berubah?
Next post VAKSIN: Belum ada ketetapan ibu hamil boleh ‘jumpa terus’
Ubah saiz-+=