Sorting by

×

Kecacatan tidak halang anggota tentera derma darah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

LENDU 9 Ogos – Kecacatan akibat kemalangan ketika menjalani latihan pada 2004 tidak menghalang seorang anggota tentera untuk menderma darah.

Shahrul Anuar Abdul Rahim, 38, berkata, dia tetap ingin menabur budi dengan menderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Anggota Kor Jurutera Elektrik Kem Terendak, Sungai Udang itu berkata, akibat kemalangan itu, dia cedera pada tulang belakang dan terpaksa menjalani enam pembedahan sejak kejadian hingga 2016.

“Alhamdulillah, walaupun berstatus OKU sejak kemalangan itu, saya tetap tidak mahu melepaskan peluang menabur budi sesama manusia,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui menderma darah pada program anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah di Dewan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di sini hari ini.

Anggota polis, Ibrahim Yahya, 56, berkata dia menderma darah kali ke-22 hari ini semata-mata ingin membantu mereka yang dalam kecemasan.

“Alhamdulillah, saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini yang membolehkan saya memberikan khidmat atau amal jariah kepada anggota masyarakat dengan menderma darah.

“Semoga dengan amal yang sedikit ini saya mampu membantu manusia lain yang memerlukan darah untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Menjelang persaraannya pada 12 Oktober depan, Ibrahim berazam untuk terus menabur budi kepada sesama insan dengan amalan itu, sekali gus membantu mengekalkan kesejahteraan kesihatannya.

Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata, seramai 88 penderma memberikan sumbangan pada program itu bagi membantu memastikan bank darah mempunyai bekalan darah mencukupi.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma darah kerana sudi membantu menjayakan program itu,” katanya.

Sehubungan itu, program berkenaan akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membantu mengekalkan bekalan darah di pelbagai hospital, katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1108
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali, isteri sertai majlis kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka
Next post ‘Jual gajus, cornflakes untuk sara hidup’
Ubah saiz-+=