Muhyiddin ucap syabas kepada ‘The Pocket Rocketman’
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak menerusi acara Keirin di Sukan Olimpik Tokyo hari ini.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebooknya, Perdana Menteri menegaskan kejayaan Azizulhasni atau dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu pastinya menambah keceriaan kontinjen negara sebelum temasya itu melabuhkan tirainya.
“Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.
“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.
“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan,” katanya.
Muhyiddin berkata, dirinya turut tersentuh melihat Azizulhasni menangis atas kejayaan itu dan berterima kasih atas pengorbanannya selama ini.
“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.
“Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini.
“Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menasihati seorang lagi jaguh berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom supaya tidak patah semangat atas kegagalan dalam penampilan pertama di temasya sukan terbesar dunia itu.
“…. saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.
“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus,” katanya.
Perdana menteri juga mengucapkan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.