Sorting by

×

CAC Stadium Hang Jebat masih tunggu keputusan NADMA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ASAHAN 4 Ogos – Cadangan mewujudkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Hang Jebat masih dalam pertimbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, pihaknya menunggu keputusan agensi terbabit setelah kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Jelasnya, pelbagai pendekatan perlu diambil NADMA terutama bagi memutuskan kos peruntukan mengendalikan pengurusan operasi CAC terbabit.

“Kalau boleh kita akan segerakan pembukaan CAC itu, namun ia perlu menerima kata putus dari NADMA sama ada ia boleh dibuka atau tidak.

“Ia juga perlu mengambil kira penganjuran Liga Super yang sedang berlangsung di negara ini dan kita telah pun sebulat suara untuk mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengalihkan penganjuran liga itu ke negeri lain ataupun menangguhkannya demi memastikan nyawa rakyat.

“Pada awalnya kita bercadang wujudkan CAC di Stadium Tun Fatimah, namun lokasinya berdekatan penempatan penduduk berbanding di Stadium Hang Jebat yang strategik dengan fasiliti lengkap dan berada di tengah-tengah tiga daerah di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat program Jom Vaksin Bersama Wanita UMNO Bahagian Alor Gajah bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Kementerian Kesihatan di Japerun DUN Asahan, di sini, hari ini.

Ab Ghafaar berkata, sekiranya CAC itu dibuka kelak pihaknya akan menempatkan kakitangan perkhidmatan awam negeri sebagai petugas di kawasan itu.

Jelasnya, kakitangan awam yang kini Bekerja di Rumah (BDR) akan diarahkan bertugas di CAC Stadium Hang Jebat bagi mengurangkan beban kos kewangan kerajaan negeri.

“Kita menganggarkan kira-kira 60 kakitangan perkhidmatan awam akan ditugaskan ke kawasan ini dengan waktu bekerja selama dua ‘shift’ dalam sehari.

“Ia dilaksanakan bagi mengurangkan pembayaran terhadap petugas sukarelawan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

690
Kongsi :
Previous post Lelaki warga Nigeria dihukum mati bunuh ketua jururawat
Next post COVID: 19,819 kes baharu hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda negara- KP Kesihatan
Ubah saiz-+=