Sorting by

×

Ketepikan perbezaan kita dan pulihkan Malaysia kembali – Tengku Zafrul

Masa Membaca:4 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Memandangkan negara masih dalam krisis kesihatan dan ekonomi, adalah penting untuk mengetepikan perbezaan dan memberi fokus ke arah tujuan bersama dalam melindungi kehidupan rakyat dan usaha pemulihan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kini, negara kita sedang menghadapi dugaan kesihatan dan ekonomi yang amat besar. Banyak negara termasuk Malaysia, yang telah berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 sebelum ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes berikutan munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda yang lebih berbahaya kerana mudah tersebar berbanding virus asal.

“Maka, sementara ada antara kita yang ingin terus debat berjela mencari kesalahan pihak lain, hakikatnya kita makin kesempitan ruang dan waktu disebabkan penularan agresif varian baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat pada situasi genting ini, penting untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin, merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

“PPN adalah usaha yang tulus dan serius, melibatkan pelbagai pendapat dan pakar demi manfaat semua — dari parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan serta ahli ekonomi dan pakar kebajikan sosial untuk bersama-sama menuju ke satu arah.

“Intipati utama adalah kesejahteraan nyawa rakyat, sesuatu yang harus dilindungi dengan memastikan keupayaan sistem penjagaan kesihatan, terutamanya dari segi kapasiti untuk bertindak dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kita,” kata Tengku Zafrul.

Beliau seterusnya berpendapat amat penting untuk semua lapisan masyarakat bersatu padu dan fokus menangani dugaan dahsyat yang melanda.

“Kita umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan. Pada saat kritikal yang mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang. Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat berkenaan, bayangkan bagaimana perasaan kita melihat keadaan ini?

“Begitu juga situasinya di negara sekarang, keselamatan nyawa menjadi persoalan dan rakyat acap kali meruntun supaya kita semua bekerjasama dan sepakat membantu negara keluar dari pandemik ini dengan selamat.

“Jadi, kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat.”

Menurut Tengku Zafrul, atas semangat kesepakatan ini, beliau telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk mengumpulkan pandangan dari seberapa banyak pihak yang boleh kerana “idea yang baik tetap idea yang baik, tanpa mengira dari mana puncanya”.

“Bahkan, inilah pendirian pihak Kementerian Kewangan semasa Belanjawan 2021 apabila kami menilai pelbagai cadangan sekalipun dari parti pembangkang dalam merangka belanjawan negara.

Kementerian, katanya akan terus mendapatkan pandangan seberapa ramai pihak dalam melaksanakan PPN.

“Mengetepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna kita semestinya bersetuju dengan semua dasar yang dikemukakan oleh kerajaan. Malah, dalam kalangan ahli-ahli majlis juga, ada antara mereka yang paling keras dan lantang mengkritik kerajaan.

“Bagaimanapun, apabila nyawa dalam ancaman dan sistem kesihatan awam sedang tergugat , kita mesti tahu bila untuk hentikan percanggahan dan bekerjasama untuk membawa negara ini keluar dari cengkaman pandemik ini.

“PPN akan ‘memayungi’ kita sehingga Disember 2021, dan sehingga COVID-19 dapat diuruskan sebagai satu penyakit yang endemik,” tambah beliau.

Selepas Disember 2021, pemulihan negara akan disokong oleh Belanjawan 2022 bagi menangani usaha melonjakkan ekonomi secara jangka pendek dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang akan merangkumi strategi jangka sederhana untuk reformasi struktur ekonomi, kata Tengku Zafrul.

Kerjasama politik di tengah-tengah pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang baharu.

Sebagai contoh, di Kanada, katanya dasar berkaitan pemulihan ekonomi dan keselamatan kesihatan telah dibangunkan dengan persetujuan semua pihak.

New Zealand yang menjadi teladan dalam usaha memerangi COVID-19, telah menubuhkan sebuah jawatankuasa pelbagai pihak untuk menguruskan tindak balas pandemik negara itu.

Baru-baru ini pula di Korea Selatan, kerajaan dan pembangkang bergandingan mencapai persetujuan mengenai peruntukan belanjawan tambahan.

“Rakyat berhak menerima sesuatu yang lebih baik dari apa yang berlaku hari ini. Mengapa kita tidak boleh menunjukkan keazaman untuk bekerjasama bagi tujuan menyelamatkan nyawa rakyat?

“Sebenarnya, kita telah pun menyaksikan kerjasama semasa proses meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 di Parlimen pada Ogos tahun lalu, yang saya pasti amat dihargai oleh rakyat kerana ia membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata beliau amat yakin Malaysia mampu mengulanginya melalui PPN.

“Saya percaya semua pihak juga mempunyai keinginan yang kuat untuk melihat negara kita bebas dari cengkaman pandemik global ini. Marilah kita rebut peluang untuk bekerjasama bagi memastikan agar Malaysia kembali ke landasan pertumbuhannya.

“Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan. Jangan biarkan perbezaan kita meruntuhkan semangat Malaysia untuk menyuburkan kembali negara yang kita sayangi.

“Ayuh ketepikan perbezaan di antara kita. Kita mampu berganding bahu memenangi perang melawan COVID-19, dan biarlah kejayaan itu kelak diraikan sebagai sesuatu yang kita semua telah Menang Bersama,” tegas beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post PM tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong pagi ini
Next post Agong perkenan usul undi percaya terhadap PM dibentang di Parlimen – Muhyiddin
Ubah saiz-+=