Nelayan ceria bawa pulang 15 kilogram udang gred A

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Ogos – Dua nelayan bersyukur selepas membawa pulang 15 kilogram (kg) udang gred A bernilai RM60 sekilogram di Pangkalan Nelayan Kampung Padang Kemunting, di sini, semalam.

Zainudin Salleh, 48, berkata, selepas hanya memperoleh sekilogram udang itu kelmarin, dia dan rakannya Ali Abdul Karim, 58, memilih untuk menangkap udang berbanding menangkap ikan.

“Bagaimanapun, apabila turun ke pangkalan nelayan ini pada jam 7 pagi, kami mengubah hasrat untuk merawai kepada menjaring udang kerana mendapati angin barat masih kekal sejak semalam.

“Kami membuat perkiraan berdasarkan kalendar Islam hari ini ialah 23 Zulhijah, iaitu air pasang dan surut di dasar laut sudah kuat dan lazimnya, keadaan seperti itu lazimnya memang sesuai untuk menangkap udang,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Padang Kemunting, di sini.

ZAINUDIN (kiri) dan Ali menanggalkan udang gred A daripada jaring.

Selepas berada kira-kira dua batu nautika di tengah laut pada jam 7.30 pagi, mereka membuang jaring udang dan menariknya kira-kira setengah jam kemudian.

Zainudin berkata, sebaik sahaja jaring ditarik, mereka teruja mendapati ia dipenuhi udang gred A yang tinggi nilainya dan terpaksa mengambil dua jam untuk menanggalkan udang dan ikan yang tersangkut pada jaring.

“Alhamdulillah, perkiraan kami untuk menangkap udang berbanding menangkap ikan hari ini (semalam) berhasil mendaratkan 15 kg udang gred A berbanding satu atau dua kg sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati orang ramai berpusu-pusu menunggu nelayan naik ke pangkalan bagi mendapatkan udang dan ikan segar.

Pengguna, Awang Abdullah, 57, berkata dia amat gemar udang gred A yang baharu didaratkan kerana kelazatannya tidak sama dengan udang dikenakan ais di pasar.

Katanya, penutupan Pasar Awam Masjid Tanah dan Pasar Awam Kuala Sungai Baru serta dua pasar raya di pekan Masjid Tanah sejak minggu lalu hingga Khamis ini akibat penularan pandemik COVID-19, mendorong orang ramai mendapatkan ikan dan udang di pangkalan itu.

“Ikan dan udang yang saya simpan dalam peti ais sudah habis dan pasar ditutup, jadi terpaksalah saya menunggu nelayan naik ke pangkalan untuk mendapatkannya,” katanya.

Dia berkata, meskipun harga ikan dan udang segar jauh lebih tinggi berbanding yang dijual di pasar, dia sanggup berbelanja lebih kerana kualitinya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post DKKB dilancar sebagai panduan pelaksanaan aktiviti perkebunan bandar
Next post Remaja dikompaun RM5,000 tanggal gelang kuarantin
Ubah saiz-+=