Sorting by

×

8,000 peruncit dan pemborong bakal divaksin menerusi RIVAC di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

LUBOK CHINA 2 Ogos – Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RIVAC) bakal memberi manfaat kepada 8,000 peruncit dan pemborong di negeri ini.

Exco Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu akan dilaksanakan tidak lama lagi, namun ia memerlukan kelulusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri mencadangkan lokasi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) iaitu di Dataran Pahlawan Megamall bagi melaksanakan program itu.

“Melaka menyasarkan 8,000 penerima vaksin dalam kalangan peruncit dan pemborong termasuk kepada pekerja pasar raya, juruwang, kumpulan pengurusan pasar raya, perkhidmatan pelanggan dan pekerja pembersihan menerima suntikan vaksin menerusi program ini.

“Dalam sehari kita sasar kira-kira 800 penerima sekali gus mencapai hasrat kerajaan negeri bagi memastikan 90 peratus populasi rakyat di Melaka divaksin bagi memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK)di Japerun Ayer Limau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna berkata, inisiatif itu diharapkan dapat memutuskan rantaian COVID-19 memandangkan kebelakangan ini banyak pasar raya termasuk pasar basah terpaksa ditutup kerananya wabak itu.

“Kalau program ini diperbanyakkan lagi, ia dapat menjamin keselamatan orang ramai ketika berada di tempat awam khususnya di pasar raya mahupun kedai-kedai tumpuan.

“Bagi mengawal wabak ini juga orang ramai dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard dan langkah penjagaan diri serta tidak berpusu-pusu untuk ke pasar raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post Sesak kerana pesakit COVID-19 dibenar ‘walk-in’ tanpa tunggu panggilan PKD
Next post Nenek, cucu antara tiga ahli sindiket ditahan edar dadah
Ubah saiz-+=