Sesak kerana pesakit COVID-19 dibenar ‘walk-in’ tanpa tunggu panggilan PKD
BATU BERENDAM 2 Ogos – Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Klinik Kesihatan Batu Berendam mulai sesak susulan pesakit COVID-19 diarahkan hadir secara terus tanpa menunggu panggilan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).
Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara itu apabila arahan dikeluarkan supaya mana-mana kes positif hasil saringan ujian RT-PCR di klinik swasta diarahkan hadir ke pusat penilaian berkenaan.
Justeru katanya, individu yang dikesan positif menerusi ujian itu tidak perlu menunggu panggilan daripada PKD kawasan masing-masing untuk tindakan selanjutnya.
“Kita menyedari situasi itu apabila mana-mana individu yang dikesan positif RT-PCR di daerah Melaka Tengah boleh datang terus ke CAC KK Batu Berendam, tanpa menunggu panggilan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mengulas lanjut, bagi menangani keadaan itu, pihaknya mengemukakan cadangan menerusi Jawatankasa Khas Menangani COVID-19 Selasa lalu supaya mewujudkan CAC berpusat.
“Pihak kami juga minggu lepas sedang merancang pembukaan CAC berpusat yang lebih besar dan selesa di Stadium Hang Jebat.
“Perkara itu bagaimanapun sedang diusahakan dan semoga ia menjadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu, MHI melaporkan keadaan di CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam, di sini terus sesak dengan kehadiran orang ramai bagi mendapatkan penilaian kesihatan sejak awal pagi.
Tinjauan Melaka Hari ini sekitar jam 8.30 pagi mendapati kenderaan beratur di bahu jalan sejauh 500 meter bermula di Taman Seri Songket sehingga ke pintu masuk CAC itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.