Sesi persekolahan lancar, semua patuhi SOP – Radzi Jidin

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANAH MERAH, 15 Julai – Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan kelancaran proses pembukaan semula sesi persekolahan hari ini yang menyaksikan semua pihak mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menterinya Dr Radzi Jidin berkata dalam tinjauannya di beberapa sekolah di sini, mendapati semua proses berjalan lancar dengan semua pelajar dan guru mematuhi SOP seperti pengambilan suhu dan penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka serta menggunakan cecair pensanitasi tangan.

“Saya gembira kerana semua pihak dalam tinjauan saya di empat buah sekolah rendah dan menengah mendapati semua berjalan lancar dan mematuhi SOP.

“Walaupun membuat penjarakan saya dapati semua sekolah dapat menampung semua pelajar tanpa perlu mengadakan dua sesi. Ini membuktikan semua pihak iaitu guru, pelajar dan ibu bapa telah memahami sepenuhnya SOP,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di sini, hari ini.

Hari ini adalah hari pertama sesi persekolahan bagi Tingkatan 1 hingga 4 dan Tahun 5 dan 6 di seluruh negara dan sebelum ini sekolah dibuka bagi Tingkatan 5 dan 6 serta prasekolah, tadika dan tabika.

Radzi berkata sekolah berasrama penuh masih belum dibuka termasuk ada sekolah di Sarawak yang juga masih belum dibuka atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keadaan wabak (COVID-19) ini terkawal dan apa yang penting dan saya tekankan adalah patuhi SOP,” katanya.

Radzi juga yakin semua pelajar yang memulakan persekolahan hari ini akan dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu dalam tempoh yang singkat seperti pelajar Tingkatan 5 dan 6 sebelum ini.

“Apa pun saya nasihatkan, keadaan (wabak COVID-19) masih belum pulih sepenuhnya dan dalam tempoh itu semua pihak perlu memastikan SOP terus dipatuhi.

“Kepada pelajar yang datang dan pulang menggunakan bas sekolah perlu patuhi penjarakan sosial juga kerana ini penting untuk pastikan semua dalam keadaan yang baik,” katanya.- BERNAMA

Views:

287
Kongsi :
Previous post Kerajaan usul pinda had kandungan alkohol dalam darah
Next post Norma baharu tidak jadi masalah
Ubah saiz-+=