#KitBantu ringan beban keluarga terjejas pandemik
LENDU 15 Julai – Seramai 160 keluarga kurang kemampuan menerima bantuan disampaikan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, baru-baru ini.
Program itu yang dianjurkan mahasiswa semester akhir fakulti komunikasi dan pengajian media universiti berkenaan telah mendapat kerjasama Persatuan Pencinta Damai, yang turut membantu menyampaikan bantuan.
Jelas Ketua Projek Program #KitBantu Muhammad Nabil Khairul Anuar, program itu disalurkan bertujuan membantu keluarga yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19, tempoh hari.
Katanya, menerusi pelbagai platform media sosial pihaknya telah berjaya mengumpulkan dana bernilai RM8,000 melalui kempen hashtag #KitBantu, hasil sumbangan orang ramai.
“Syukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang membantu menjayakan program ini untuk kita agihkan kepada golongan terkesan.
“Melalui program yang dianjurkan ini sumbangan berbentuk barangan keperluan harian telah diagihkan ke setiap daerah melalui usaha sama Persatuan Ibu Tunggal yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Damai, Datuk Manan Hassan, berkata, komitmen yang ditunjukkan pelajar tahun akhir itu merupakan satu usaha untuk melibatkan diri dalam keusahawanan dan kesukarelaan, sekali gus menempa memori sebelum menamatkan pengajian.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat meringankan beban golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.