Sorting by

×

‘Geng Saku Brother’ aktif curi barangan penjagaan diri tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MELAKA TENGAH 31 Julai – Polis menumpaskan sindiket ‘Geng Saku Brother’ yang dipercayai aktif mencuri barang penjagaan diri termasuk coklat di pasaraya, farmasi dan kedai serbaneka sebelum menjualnya secara dalam talian sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ia ekoran penahanan ketua sindiket berkenaan dikenali ‘Brother’ berusia 46 tahun serta dua ahlinya termasuk seorang warga asing dalam tiga serbuan berasingan bermula 24 Julai lalu.

Tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah melalui ‘task force’ khas setelah menerima lima laporan kes bermula Mei hingga Julai lalu.

Menurutnya, hasil penahanan ketiga-tiga suspek, polis turut menemui semula lebih 36 jenis barang dipercayai hasil curi dianggarkan bernilai lebih RM10,000 yang disembunyikan di sebuah rumah sewa di Taman Ayer Molek Perdana.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

“Antara barang dirampas adalah, pewangi ketiak, pelekat gigi palsu, coklat, skrub muka, krim panas, ubat mata dan minyak rambut.

“Penemuan adalah selepas kejayaan memberkas suspek pertama berusia 38 tahun di sebuah rumah kedai di Malim Jaya jam 8.30 malam 24 Julai lalu.

“Seterusnya, polis menahan suspek kedua iaitu lelaki berusia 46 tahun dikenali sebagai ‘Brother’ yang dipercayai ketua kumpulan sindiket terbabit di sebuah chalet di Pengkalan Balak jam 2.30 petang keesokan harinya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Susulan itu, katanya polis menahan ahli sindiket ketiga yang juga warga asing berusia 39 tahun ditahan polis di Taman Seri Krubong, 27 Julai lalu.

 

ANTARA barang dirampas seperti pewangi ketiak, pelekat gigi palsu, coklat, skrub muka, krim panas, ubat mata dan minyak rambut.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyasarkan premis yang menjual barangan penjagaan diri seperti produk penjagaan kulit sebelum dijual semula menerusi platform dalam talian dan media sosial.

“Ketua sindiket bertindak sebagai penjual manakala dua suspek termasuk warga asing bertindak memecah masuk dan mencuri barangan berkenaan di premis yang disasarkan.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post Anak Melaka bawa pulang pingat gangsa Olimpik
Next post Tahniah Aaron – Wooi Yik! – Reezal Merican
Ubah saiz-+=