Sorting by

×

Kluster industri: Melaka cari penempatan jangka panjang untuk pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ASAHAN 29 Julai – Kerajaan negeri akan mengenal pasti penempatan baharu bagi menempatkan pekerja asing dalam tempoh jangka panjang bagi menangani penularan COVID-19 dalam kalangan kluster industri yang kian meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, perkara itu diputuskan sebagai langkah kerajaan negeri dalam tempoh jangka masa panjang menangani pandemik itu.

Justeru katanya, majikan syarikat berkaitan perlu akur dengan arahan berikutan kerajaan melaksanakan penguatkuasaan tegas mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Invest Melaka Berhad diarahkan untuk berunding dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) supaya membina penempatan asrama pekerja kilang.

“Perkara itu adalah langkah jangka masa panjang, kerana kita hendak keluarkan pekerja industri yang menyewa di taman perumahan jadi mereka perlu diasingkan supaya tiada masalah sosial berlaku di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Asahan di Nyalas.

ABDUL GHAFAAR (dua dari kanan) diberi penerangan ketika melawat PPV Dewan MPJ Hang Kasturi, Selandar, Jasin. Foto: MR. Azli.

Mengulas lanjut, beliau yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri berkata, antara faktor peningkatan kes dalam kalangan klusteri industri adalah disebakan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di kawasan penempatan masing-masing.

“Apabila berlaku penularan COVID-19 dan kita siasat kediaman mereka, dahsyat bak kata orang macam ‘tongkang pecah’ kerana ada antara mereka tinggal sehingga 10 orang dalam satu bilik.

“Walhal mereka memang dititipkan disiplin SOP di tempat kerja,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Ghafaar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas dan menguatkuasakan akta berkaitan supaya majikan menyediakan kediaman yang sesuai kepada pekerja.

“Menerusi mesyuarat khas COVID-19 itu, Invest Melaka sudah memindahkan pekerja ke Truck Center atau Pusat Kenderaan Berat, Durian Tunggal yang boleh menampung lebih 1,000 pekerja di situ.

“Manakala satu lagi akan ditempatkan di asrama pekerja di Merlimau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

584
Kongsi :
Previous post Dos ketiga berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta – Pfizer
Next post MBMB bantu 1,000 keluarga terkesan PKP
Ubah saiz-+=