‘Spiderman’ jual pati minuman di Pantai Puteri
PANTAI KUNDOR 25 Julai – Terpaksa menahan panas setiap kali memakai kostum adiwira ‘Spiderman,’ bukan halangan buat seorang pemuda mencari rezeki dengan menjual pati minuman.
Muhammad Izat Nazmi Norzaini, 22, berkata, dia mencuba kelainan itu bagi menarik perhatian pelanggan dan menghiburkan kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa masing-masing di pantai peranginan Pantai Puteri, di sini.
Katanya, dengan berpakaian watak filem Hollywood itu, sedikit demi sedikit dia berjaya menarik perhatian orang ramai pantai itu untuk mencuba minuman itu.
“Sebelum ini saya berniaga pakaian di sebuah kompleks beli-belah di Kampung Morten, Bandar Raya Melaka.
“Namun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dimulakan pada Mac 2020, kedai pakaian tidak dibenarkan beroperasi, lalu saya mencari idea untuk memulakan perniagaan baru.
“Kebetulan saya baharu bernikah seminggu sebelum PKP 1.0 dimulakan dan pandemik COVID-19 menyebabkan saya benar-benar terkesan kerana tidak dapat mencari rezeki melalui perniagaan pakaian,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan hari ini.
Katanya, selepas puas mencari idea bidang perniagaan baharu, dia menemukan idea menghasilkan pati minuman teh ais, teh hijau dan kopi yang dipelajari daripada abang iparnya.
Menurutnya, dia membeli kostum berkenaan secara dalam talian dan menjual minuman berkenaan di situ sejak sebulan lalu.
“Abang ipar saya pernah berniaga warung kopi sebelum menceburi bidang perniagaan lain dan dia mencurahkan ilmu pembuatan pati berkualiti tinggi bagi memastikan ia benar-benar menarik minat pelanggan,” katanya.
Bapa bayi berusia lima bulan itu berkata, kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa mereka tidak melepaskan peluang bergambar dengannya setiap kali membeli pati minuman berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.