Jual bantuan kit makanan untuk beli dadah
DURIAN TUNGGAL 24 Julai – Ambil bantuan kit makanan kemudian jual untuk beli dadah, malah ada yang mempunyai puluhan rumah sewa, turut mengambil bantuan asas disediakan secara percuma itu.
Itu dua insiden ‘memalukan’ terpaksa ditelan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Ismail Ibrahim, tatkala mengagihkan kit makanan dinamakan Gerobok Rezeki baru-baru ini.
Menurutnya, tujuan kit bantuan makanan asas itu diberikan adalah untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Antaranya adalah seperti mereka yang kehilangan kerja, berpendapatan rendah dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Namun menyedihkan apabila ‘siasatan’ kami menemui sekumpulan manusia yang sebenarnya mencuri hak golongan sasar yang sepatutnya menikmati kemudahan itu,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sebenarnya tahu ada pemohon yang datang ke JAPERUN mendapatkan kit makanan tetapi kemudian menjualnya untuk membeli dadah.
“Duit hasil jualan tu, mereka beli dadah, malah lebih sedih ada yang mempunyai puluhan rumah sewa, datang minta bantuan. Tapi kita serah juga sebab dah datang.
“Kita tahu mereka sebenarnya tidak layak, tapi kita teruskan juga sebab tak mahu mengeruhkan keadaan atau timbul salah faham,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Menurutnya, berdasarkan ‘siasatannya’ ada juga penerima yang datang dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi mendapatkan kit makanan DUN Durian Tunggal dengan menggunakan kad pengenalan lama.
“Bila kita siasat rupanya pemohon tersebut telah berpindah ke Kuala Pilah dan kad pengenalan menunjukkan dia tinggal menyewa di Durian Tunggal sebelum ini.
“Bagaimana dia boleh berjaya rentas negeri, itu saya tidak pasti,” ujarnya.
Beliau sehubungan itu berharap golongan yang berkemampuan itu atau tidak mengambil kesempatan di sebalik kesempitan orang lain dan sifat pemurah pemberi bantuan.
Menurut Ismail, sejak memperkenalkan kemudahan Gerobok Rezeki JAPERUN Durian Tunggal sejak Mei tahun lalu, lebih 3,000 orang telah menerima bantuan kit makanan dan pelbagai barangan keperluan harian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.