Disangka sombong, rupanya bisu dan pekak
DURIAN TUNGGAL 24 Julai – Tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, dahulunya dia adalah penjual cendol di Alor Gajah.
Namun dek kerana pandemik COVID-19, perniagaaan yang diusahakannya sejak lebih 10 tahun lalu terpaksa ‘dikuburkan’ begitu sahaja.
Tanpa mempedulikan kekurangan diri, Mohd Nazrol Dollah, 42, mencuba pekerjaan lain sebagai penghantar makanan sejak dua bulan lalu.
Bak kata orang, kalau sudah rezeki, dia kini mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan, cukup menampung keperluan isteri, Noorul Huda Abd. Rahman, 40, serta dua anaknya yang berusia 18 tahun dan 14 tahun.
Bagaimanapun, `langit tidak selalunya cerah’, apabila Mohd Nazrol ditimpa kemalangan kira-kira dua minggu lalu ketika sedang menghantar makanan.
Nahas itu mengakibatkan dia cedera di kaki dan perlu berehat di rumah buat sementara waktu.
“Sepanjang dua minggu berehat, saya tidak mempunyai apa-apa pendapatan manakala isteri hanya berniaga kecil-kecilan dalam talian.
“Dalam tempoh yang sukar ini, kami bergantung hidup dengan bantuan kit makanan yang disumbang agensi kerajaan dan persendirian.
“Hakikatnya, sukar untuk bekerja sebagai penghantar makanan ini kerana saya pekak dan bisu, kadang-kadang apabila ada pelanggan bertanyakan sesuatu, saya terpaksa memberi bahasa isyarat.
“Ada juga pelanggan yang marah-marah kata saya sombong namun kerana tidak tahu saya OKU. Tak apa, saya maafkan kerana anggap inilah resam orang bekerja,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mohd Nazrol adalah antara 38 orang penghantar makanan dalam daerah Durian Tunggal menerima sumbangan kit barangan keperluan makanan agihan JAPERUN Durian Tunggal yang disampaikan oleh Penyelaras DUN Durian Tunggal, Datuk Ismail Ibrahim.
Sempena majlis itu, masing-masing menerima dua pek pelbagai barangan keperluan makanan antaranya beras, telur, tepung, mi segera dan minyak masak.
Bercerita lanjut, Mohd Nazrol berkata, dia tidak menyangka akan bekerja sebagai penghantar makanan pada hari ini memandangkan sudah biasa berniaga menjual cendol sejak di usia remaja lagi.
“Disebabkan kesukaran berinteraksi dengan orang ramai, saya sukar mendapat kerja, jadi saya memilih untuk menjual cendol sahaja bagi menampung hidup dan hasil jualan juga amat memberangsangkan kerana saya boleh dapat kira-kira RM1,000 sebulan.
“Namun, sejak pandemik melanda, pelanggan semakin kurang jadi saya tiada pilihan selain bekerja bagi menampung keluarga dan saya hanya fikirkan bekerja sebagai penghantar makanan yang sesuai untuk saya ketika ini,” ujarnya.
Katanya, kemalangan yang menimpa dirinya sebelum ini berlaku disebabkan kecuaian dirinya sendiri kerana menunggang motosikal sambil menggunakan telefon bimbit untuk mencari arah lokasi rumah pelanggan.
“Ketika itu, saya baharu bekerja sebagai penghantar makanan maka tidak biasa lagi dengan selok belok jalan raya dan kawasan penghantaran namun mujurlah ramai rakan-rakan penghantar yang membantu,” katanya.
Mohd Nazrol turut mengharapkan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac 2020 akan pulih seperti sedia kala dan suasana kehidupan rakyat akan kembali normal seperti tahun-tahun sebelumnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.