ZooToYou tarik 1.2 juta penonton, kutip sumbangan RM200,000
AYER KEROH 23 Julai – Baru dua minggu dilancarkan program ZooToYou anjuran Zoo Melaka yang diadakan secara maya di laman Facebook berjaya menarik 1.2 juta tontonan di seluruh negara.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, dalam tempoh itu juga pihak Zoo Melaka berjaya mengumpul sumbangan hampir RM200,000 daripada orang ramai, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, atas sambutan menggalakkan, pihaknya akan meneruskan lagi program itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menampilkan topik dan pembelajaran haiwan berbeza setiap minggu.
“Tujuan kita menganjurkan ZooToYou ialah untuk menjadikan Zoo Melaka sebagai tempat pembelajaran bagi membolehkan anak-anak yang berada di rumah dapat mengenal sikap dan sifat haiwan serta bagaimana kita melakukan konservasi di Zoo Melaka.
“Alhamdulillah, sambutan yang kita terima memang sangat menggalakkan, kebanyakannya daripada pihak Taska dan Tadika serta sekolah-sekolah rendah.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan telah menyumbang sepanjang program ini diadakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan turut memaklumkan ada pihak mencadangkan program itu diadakan secara berbayar bagi membantu Zoo Melaka memperoleh pendapatan tambahan sepanjang ketiadaan pengunjung sewaktu PKP.
Bagaimanapun, buat masa ini, pihaknya belum bercadang untuk mengenakan bayaran.
“Setakat hari ini, kita akan terus buat program ini secara percuma terlebih dahulu.
“Tetapi jika ada permintaan khas yang memaksa kita meletakkan caj mungkin kita akan pertimbangkan dan adakan perbincangan…tapi buat masa ini belum lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.