Didenda RM2,000 ‘tweet’ berita palsu
AYER KEROH 23 Julai – Padah menyebarkan berita palsu di Twitter berkaitan kematian akibat COVID-19, awal bulan lalu, seorang bekas operator kilang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Nur Anati Kamarudin,28, menjadi individu pertama di Melaka dijatuhi hukuman mengikut Ordinan Darurat selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan rangkaian Twitter miliknya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, telah menyebarkan berita tidak benar berkaitan dua kes kematian akibat COVID-19 di kilang tempat kerjanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan AP 3, Taman Ara Permai, Batu Berendam pada 3 Jun lalu, kira-kira jam 9 pagi.
Nur Anati dituduh mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan berterusan boleh didenda maksimum RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Badius Zaman Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira isu penyebaran berita palsu adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia sudah dibuang kerja akibat insiden itu selain perlu menanggung ibu dan bapanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 serta empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.