
Berpidato pupuk penghayatan Rukun Negara
KUALA LUMPUR 21 Julai – Kelesuan akibat pandemik COVID-19 yang berterusan, ditambah kemurungan kehilangan pekerjaan boleh mencetuskan hilang rasa hormat terhadap orang di sekeliling dan melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang.
Keadaan ini boleh menjadi punca utama seseorang itu mula kurang menghayati prinsip Rukun Negara yang sudah berusia lebih 50 tahun itu.
Profesor Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Datuk Prof Dr Baharudin Puteh ketika dihubungi berkata, beliau mengakui memang benar adanya berlaku penurunan signifikan terhadap kefahaman dan pengamalan prinsip Rukun Negara disebabkan situasi negara yang mencabar ketika ini.
Menurut beliau, usaha proaktif perlu direncana semua pihak terbabit untuk memastikan masyarakat mula menghayati kembali semangat lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Masyarakat negara ini juga, kata beliau, perlu terus berganding bahu untuk sama-sama memakmurkan kembali negara ini.
Oleh itu, beliau berpendapat, penganjuran program bermanfaat seperti Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, adalah salah satu usaha yang baik untuk disertai segenap golongan masyarakat.
KURANG FAHAM SEJARAH RUKUN NEGARA
Pertandingan untuk merebut Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam ini bermula pendaftaran pada 5 Julai hingga 31 Julai menerusi penyertaan dalam bentuk video, serta pertandingan pula akan diadakan pada bulan Ogos 2021.
Ia dianjurkan oleh Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Bersama Kerajaan Negeri Melaka Dan Kementerian Perpaduan Negara.
“Jika kita perhatikan, sebenarnya masih ramai kurang faham mengapa Rukun Negara itu dibentuk dan diisytihar pada 31 Ogos 1970. Jika mereka fahami sejarahnya, mereka akan ingat betapa buruknya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 akibat perpecahan kaum ketika itu. Rukun Negara seharusnya perlu terus dihormati dan dihayati sepanjang masa kerana ia adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan seluruh kaum di Malaysia.
“Kita akui disebabkan kelesuan pandemik ini, kita terlalu tertekan dengan situasi semasa sehingga menyebabkan kita sanggup melanggar prinsip Rukun Negara ini, di sini kita lihat peri pentingnya penganjuran pertandingan pidato ini boleh menjadi asbab menarik orang ramai untuk sama-sama menyalurkan idea dan pandangan bagi membangunkan kembali negara menerusi pidato,” jelasnya yang juga merupakan ketua pengarah Sekretariat pertandingan pidato berkenaan.
Beliau menambah, peserta yang menyertai pertandingan pidato ini mestilah menggunakan hujah mereka bersandarkan prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dan prinsip ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan, disamping perlu berdasarkan kepada situasi dalam negara yang lebih relevan untuk diperincikan.
“Pada tahun lepas (2020), pertandingan pidato berkenaan dilaksanakan bagi peringkat negeri yang diurusetiakan oleh Institut Tun Perak (ITP) manakala tahun ini (2021) pula, pertandingan ini dilaksanakan pula di peringkat kebangsaan bagi membolehkan lebih ramai penyertaan di kalangan orang ramai.
“Saringan pertama akan dilakukan pada 9 hingga 12 Ogos manakala peringkat separuh akhir bermula pada 16 hingga 17 Ogos, sebelum peringkat akhir pertandingan dilangsungkan pada 21 Ogos depan di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekiranya situasi pandemik negara kembali pulih,” katanya.
Lima kategori dibuka untuk penyertaan membabitkan Kategori Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu, yang menawarkan hadiah antara RM300 hingga RM5,000, serta pelbagai hadiah menarik ditawarkan seperti piala pusingan, piala iringan, koleksi buku dan sijil penyertaan.
TERBUKA KEPADA SEMUA
Menjelas lebih lanjut mengapa prinsip Rukun Negara yang kedua dan ketiga dipilih untuk menjadi fakta penghujahan peserta, Dr Baharudin berkata dilihat berlaku penurunan yang agak ketara dari segi pemahaman dan penghayatan untuk kedua-dua prinsip berkenaan, berbanding tiga lagi prinsip yang lain.
“Kita ambil contoh, jika kita tanya orang ramai, pastinya majoriti sedia maklum prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, kerana ramai dalam kalangan kita yang kuat berpegang teguh kepada agama masing-masing. Begitu juga prinsip Kesopanan dan Kesusilaan apabila kita lihat berbondong-bondong orang kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang kesusahan akibat kesempitan hidup akibat pandemik ini.
“Oleh itu kita ingin memfokuskan kepada prinsip kedua dan ketiga Rukun Negara ini bagi mendidik orang ramai betapa pentingnya kita menghormati institusi raja dan pemerintah yang menjalankan undang-undang, serta terus menghormati keluhuran dan kemuliaan Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, sekiranya kita melihat di dalam media sosial, ada segelintir pengguna seolah-olah tidak lagi menghormati institusi beraja dengan menggunakan ayat yang tidak sopan dan menghina, walhal institusi beraja diketuai Yang di-Pertuan Agong inilah yang akan menjadi payung kepada rakyat terutama sekiranya sebarang krisis negara melanda.
TAMBAH BAIK SISTEM PENDIDIKAN
Dr Baharudin turut berpandangan sistem pendidikan negara termasuk kurikulum sedia ada perlu terus ditambah baik dari semasa ke semasa dengan mengambil semangat daripada penghayatan lima prinsip Rukun Negara.
âDari aspek institusi pendidikan, Rukun Negara seharusnya dijadikan salah satu alat dan doktrin yang sepatutnya mampu menjadikan warganegara Malaysia berjiwa patriotik. Sekiranya Rukun Negara dapat dihayati oleh setiap rakyat Malaysia, maka sudah pasti mereka akan mempunyai rasa dan kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab mereka kepada negara.
“Dengan adanya patriotisme Malaysia yang tinggi inilah mereka menjadi produktif, berdaya tahan, berdaya saing, inovatif dan kreatif, serta dapat melahirkan modan insan yang bermanfaat untuk pembangunan negara, ” katanya.
Dalam pada itu, Dr Baharudin turut menjelaskan antara pendekatan berlainan bagi pertandingan pidato kali ini ialah penganjuran julung kali kategori Bukan Melayu, yang pastinya menjadi antara tarikan utama.
âSelain kategori yang biasa dipertandingkan iaitu kategori sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian awam dan awam, kategori Bukan Melayu ini kita anjurkan yang boleh menjadi wacana dan asbab untuk lebih ramai golongan ini menyertai pertandingan pidato berbahasa Melayu walaupun mereka tidak berapa fasih dari segi pertuturan dan kelancaran berbahasa.
âCuba bayangkan jika seseorang yang bukan berbangsa melayu dan kurang fasih bertutur namun tetap berusaha untuk menyertai pertandingan ini, pastinya ia menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada orang ramai di masa akan datang. Saya turut menggalakkan orang bukan Melayu untuk turut sertai kategori Awam dan bertanding bersama-sama, ” katanya.
Untuk pertandingan kali ini, pengajur mensasarkan sekitar 500 penyertaan bagi kesemua kategori ini, dengan pertandingan peringkat akhir akan turut dihakimi oleh ketua hakim Tan Sri Datuk Wira Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar.
“Kita turut berharap aktiviti berpidato seperti ini dapat menjadi platform terbaik untuk mereka mempersembahkan bakat berhujah berdasarkan tema yang diberikan, selain turut menjadi aktiviti menyeronokkan dan memberi informasi kepada masyarakat,â tambahnya.
Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan pidato ini yang terbuka kepada semua, masih boleh menghantar rakaman video pidato masing-masing berdurasi tujuh minit ke emel [email protected].
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.