Sorting by

×

Aidiladha : Sanggup tunggu sejak awal pagi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 20 Julai – Seorang pemuda sanggup menunggu lebih lima jam semata-mata untuk mendapatkan daging ibadah korban anjuran Masjid Al Mujib Kampung Durian Daun, dekat sini.

Muhd Syukri Md Mihat, 27, dari Kampung Durian Daun itu berkata, dia sudah menunggu di luar perkarangan masjid sejak pukul lapan pagi bagi mendapatkan daging korban biarpun mengetahui pihak masjid hanya akan mengagihkan daging rumah ke rumah lewat tengah hari.

Menurutnya, dia tidak kisah untuk berdiri dan berpanas semata-mata mahu melihat majlis korban berlangsung memandangkan ia hanya berlaku setahun sekali ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Malah, saya langsung belum balik rumah yang terletak hanya 100 meter dari masjid kerana sejak malam tadi saya menawarkan diri untuk menjaga kawanan lembu yang akan disembelih pada majlis korban pagi ini.

“Tetapi saya tidak kisah walau terpaksa tunggu berjam-jam lamanya kerana saya puas hati dapat menyaksikan majlis korban yang hanya sekali setahun sahaja, ia satu pengalaman menarik,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Muhd Syukri, sebaik selesai mengerjakan solat Aidiladha secara jemaah bersama anak saudaranya Muhammad Daniel Mohd Shahrizal, 15, di masjid berkenaan, dia memutuskan untuk terus berada di masjid itu biarpun pihak masjid meminta jemaah pulang ke rumah bagi menunggu agihan daging korban.

“Memang rasa mengantuk sebab tidak tidur sejak malam tadi kerana menjaga lembu korban tetapi tidak mengapalah sebab saya suka dan seronok dengan pengalaman ini.

“Kalau hari biasa lain saya sudah sibuk dengan kerja harian, ini satu pengalaman yang boleh kongsi dengan anak-anak saya nanti,” katanya.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, jawatankuasa Masjid Al Mujib Kampung Durian Daun menyembelih 15 ekor lembu dan ia merupakan kali kedua pihak masjid mengadakan program korban tertutup yang hanya menghadkan kehadiran petugas selain mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post Ibadat korban tetap meriah, patuh SOP
Next post Ibu tunggal sedang jalani kuarantin cemas dapur terbakar
Ubah saiz-+=