Kluster baharu di Kelantan berpunca rentas negeri ziarah kematian
KOTA BHARU 20 Julai – Seorang pemuda dari Selangor yang pulang ke Kelantan untuk menziarahi kematian bapanya, mencetuskan kluster baharu di negeri ini, memetik laporan portal Berita Harian sebentar tadi.
Kluster Sungai Long yang membabitkan daerah Jeli dan Kuala Krai menyebabkan 13 individu positif COVID-19 sehingga semalam.
Ia adalah hasil ujian saringan terhadap 30 individu.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pemuda berusia 22 tahun itu melakukan rentas negeri pada 11 Julai lalu.
Katanya, pemuda berkenaan pulang ke Kampung Sungai Long selepas bapanya meninggal dunia pada 10 Julai, sebelum dia disahkan positif pada 17 Julai hasil ujian saringan memandangkan pulang dari negeri yang berisiko tinggi.
“Ujian saringan akan terus dilakukan terhadap kontak yang dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan COVID-19 di Kelantan, Dr Zaini berkata, keadaan kes COVID-19 di negeri itu masih belum stabil kerana kes harian masih tiga angka.
“Hampir setiap hari Kelantan merekodkan kluster baharu dan semalam sahaja tiga kluster direkodkan termasuk Kluster Sungai Long.
“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika sambutan Aidiladha bagi mengekang penularan COVID-19.
“Kita tidak mahu disebabkan kelalaian masyarakat menyebabkan kes COVID-19 semakin meningkat di Kelantan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.