Sorting by

×

COVID: 153 Kematian direkod hari ini, jumlah tertinggi setakat ini

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 18 Julai – Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut dengan 153 kes dilaporkan hari ini berbanding 138 kes semalam, sekali gus angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Ini menjadikan jumlah kes kematian akibat virus itu di Malaysia setakat ini kepada 7,019 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kematian direkodkan hari ini, 125 kematian membabitkan warganegara dan 28 warga asing.

Ia melibatkan 82 kes di Selangor; Kuala Lumpur (17); Negeri Sembilan (14); Johor (10); Kedah (lapan), Pahang (enam); Melaka (lima); masing-masing dua kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Putrajaya serta masing-masing satu kes di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Labuan.

Dr Noor Hisham berkata 5,778 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 779,171 orang manakala 909 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 445 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif kini sebanyak 124,593 kes, katanya menerusi kenyataan media berhubung perkembangan semasa COVID-19 hari ini.

Sementara itu, mengenai perincian 10,710 kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata 95 kes (0.9 peratus) adalah dari kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) dan 45 kes (0.4 peratus) kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).

Sebanyak 91 kes (0.9 peratus) pula adalah kategori tiga (radang paru-paru), 4,162 kes (38.9 peratus) kategori dua (bergejala ringan) dan 6,317 kes (59.0 peratus) kategori satu (tidak bergejala).

Jelasnya walaupun secara keseluruhannya hanya 2.1 peratus atau 231 kes dilaporkan berada pada kategori tiga hingga lima, namun tempoh masa lama diperlukan bagi kes-kes itu diberi jagaan di wad dan ICU.

Beliau menjelaskan, bagi kes kategori lima, purata tempoh jagaan di ICU adalah selama 21 hari dan kategori empat (14 hari), sementara kategori tiga (memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi).

“Ini sekali gus mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan 17 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 10 membabitkan tempat kerja, lima dalam kalangan komuniti dan masing-masing satu melibatkan pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

Sabah dan Johor masing-masing merekodkan empat kluster, Selangor (tiga), Kedah (dua) serta Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Pahang, masing-masing satu kluster.

Kluster tempat kerja yang dilaporkan ialah Industri Desa Aman, Industri Jalan Klinik, Persiaran Pekeliling Bangi di Selangor; Agathis dan Sri Sandau (Sabah); Jalan Segambut Duta (Kuala Lumpur); Industri Jalan Usaha 12 (Melaka); Dah Padang Temusu (Kedah); Batu Enam Pandan (Johor) dan Lorong MIEL Lundang (Kelantan).

Bagi kluster komuniti pula, ia membabitkan Jalan Bacang 30, Jalan Tasek Seri Alam dan Jalan Denai Utama di Johor; Dah Kampung Kerchut (Kedah) dan Pos Iskandar (Pahang) manakala kluster pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi melibatkan Tembok Tawau Dua dan Batu Tiga Utara (Sabah).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (RT) di Malaysia semalam adalah 1.18, dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu iaitu 1.31.

Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.26); Kedah (1.25); Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing 1.19; Pulau Pinang (1.18); Selangor, Melaka dan Perak (1.17); Sabah (1.15), Kelantan (1.13), Pahang (1.11) dan Johor (1.10).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post 4,839 kenderaan diarah patah balik pada Jumaat
Next post Kelonggaran SOP individu lengkap dos vaksin diumum selepas Aidiladha
Ubah saiz-+=