PKPD di 34 mukim di Selangor ditamatkan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor ditamatkan mulai tengah malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini dengan meneliti pembentangan keadaan semasa pandemik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan melaksanakan PKPD di 34 mukim di Selangor yang dijadualkan tamat pada hari ini, 16 Julai 2021.

“Sidang khas MKN telah meneliti pembentangan KKM mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di semua mukim yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPD dilaksanakan di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai lalu.

Ia membabitkan mukim merangkumi daerah Petaling (Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja), Hulu Langat (Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang) dan Sepang (Dengkil, Labu, Sepang).

Turut terbabit adalah mukim di daerah Gombak (Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang), Kuala Langat (Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu).

Selain itu, mukim di daerah Klang yang terbabit ialah Kapar dan Klang serta Kuala Selangor (Ijok, Bestari Jaya, Jeram), Hulu Selangor (Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali).

Ismail Sabri berkata, selain Selangor, PKPD di beberapa lokaliti di Kedah, Sabah dan Pulau Pinang juga ditamatkan esok, manakala satu lokaliti di Negeri Sembilan pada lusa.

“Di Kedah, PKPD yang bermula 4 Julai lalu di Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja, Kuala Muda Kedah akan ditamatkan pada 17 Julai 2021.

“Di Sabah, PKPD di Kampung Emas, Kota Belud; Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau dan Kampung Babagon, Penampang akan tamat pada 17 Julai 2021,” katanya.

Di Pulau Pinang membabitkan PKPD di Taman Nagasari, Mukim 6, Seberang Perai Tengah juga akan tamat esok.

Di Negeri Sembilan, PKPD di Taman Desaria, Seremban yang bermula 5 Julai lalu akan tamat pada Ahad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post Jumlah penerima bantuan di Dun Bukit Katil meningkat
Next post Jangan rentas negeri sambut Aidiladha – TPM
Ubah saiz-+=