Sorting by

×

Penubuhan RCI dimuktamadkan secepat mungkin, tiada kesan pada agihan keuntungan TH

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PUTRAJAYA 16 Julai – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan dimuktamadkan secepat mungkin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau memberi jaminan penubuhan RCI itu tidak akan memberi kesan terhadap agihan keuntungan Tabung Haji bagi pendepositnya.

Penubuhan RCI itu, kata beliau, adalah untuk merungkai persoalan dan permasalahan yang sering ditimbulkan dan dibangkitkan mengenai TH seperti aspek pengauditan dan dasar.

Beliau berkata penubuhan RCI dipersetujui hasil daripada kehendak sebahagian besar Ahli Parlimen, baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang, yang mahu isu-isu TH dilihat secara terperinci serta adil.

“Kita sejujurnya akan memastikan RCI bersifat bebas, telus dan akan pilih mereka yang berwibawa dan berintegriti untuk menganggotainya,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan serahan sumbangan 41 tablet dari TH Travel and Services Sdn Bhd kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri berkata, antara terma RCI dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Mengenai sumbangan tablet kepada pelajar SAM Bandar Baru Salak Tinggi itu, Zulkifli berkata sumbangan TH Travel and Services itu dapat meringankan beban pelajar asnaf yang tiada alat itu untuk meneruskan pembelajaran dalam norma baru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post Polis rampas 1,069 mesin bitcoin bernilai RM5.3 juta di Miri
Next post Lelaki dipercayai conteng dinding istana dan tumbuk polis, maut
Ubah saiz-+=