Warga emas di KL, Selangor, boleh ‘walk in’ untuk dapatkan vaksin
PUTRJAYA 15 Julai – Warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan mendapat vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka boleh berbuat demikian serta merta di pusat perubatan yang dikendalikan pengamal perubatan (GP) swasta.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana data yang diperoleh menunjukkan masih ada warga emas berusia 60 tahun ke atas belum menerima suntikan vaksin.
Memetik laporan Harian Metro hari ini, beliau berkata, seramai 2,229 GP di Selangor dan 1,254 GP di Kuala Lumpur akan digerakkan untuk tujuan itu.
Katanya, setakat ini inisiatif berkenaan akan dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum diperluaskan di negeri lain yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Keputusan ini boleh mempercepatkan kadar vaksinasi diperoleh oleh warga emas berusia 60 tahun ke atas.
“Setakat ini 700 GP memberikan perkhidmatan suntikan vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Perkhidmatan GP swasta ini membolehkan 300,000 dos sehari vaksin dijangka dapat disuntik setiap hari,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Dr Adham berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri juga dibenarkan untuk beroperasi selama 24 jam sehari.
Katanya, inisiatif ini akan mula dilaksanakan di PPV Industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Ini adalah inisiatif untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.