Sorting by

×

Melaka cadang penempatan pekerja asing jauh dari kawasan perumahan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Kerajaan Negeri bercadang menempatkan pekerja asing positif COVID-19 di kediaman berpusat yang jauh dari kawasan perumahan.

Cadangan perancangan penginapan pekerja berpusat atau ‘centralised labour quarters’ itu telah dibawa dalam mesyuarat khas bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Negeri Melaka, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan kepada Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Katanya, ia juga telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dipersetujui dan kini dalam peringkat pelaksanaan.

“Maknanya, sekarang ini kita tak nak lagi pekerja asing duduk di taman-taman perumahan dan kita mahu asingkan mereka.

“Cadangan kita ialah untuk menempatkan mereka di bangunan kerajaan yang tidak digunakan dan menjadikannya sebagai asrama.

“Jadi, dengan cara ini kita bukan sahaja dapat mengawal kes COVID-19 daripada merebak ke kawasan awam, bahkan kita juga dapat mengurangkan masalah sosial membabitkan warga asing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri memaklumkan, setakat ini ada beberapa kawasan yang sesuai telah dikenal pasti untuk dijadikan kediaman berpusat pekerja asing.

Antaranya di Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berhampiran ‘Truck Centre’ di Ayer Keroh yang dijangka boleh memuatkan ribuan pekerja.

“Sebelum ini, kita sudah menempatkan pekerja asing secara berpusat di bangunan milik PKNM di Merlimau dan sekarang kita akan perluaskan lagi di beberapa tempat yang lain.

“Maknanya, pengilang-pengilang di negeri ini mesti mematuhi arahan ini jika mahu terus beroperasi memandangkan penempatan warga asing ini sememangnya sudah tertakluk dalam akta,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post Melaka benarkan 50 jemaah solat fardu di masjid bermula esok
Next post Warga emas di Melaka belum terima vaksin perlu hubungi Bilik Gerakan Vaksin
Ubah saiz-+=