Sorting by

×

MOVAK: Penduduk empat kawasan di Melaka bakal terima vaksin secara bergerak

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini bakal menerima vaksin secara bergerak menerusi inisiatif Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Ia merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Negeri Melaka, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, setakat ini empat kawasan di Melaka dikenal pasti untuk dilaksanakan MOVAK.

Jelasnya, kawasan berkenaan ialah di Kompleks JAPERUN Machap Jaya, JAPERUN Asahan, JAPERUN Kuala Linggi dan Dewan Kasturi Selandar.

ABDUL GHAFAAR.

“Semua kawasan dipilih ini jauh dari bandar yang mana objektif kita ialah untuk membantu masyarakat luar bandar menerima vaksin.

“Jadi, penduduk kampung yang jauh dari bandar tidak perlu risau untuk menerima vaksin memandangkan MOVAK ini menggerakan bas khas untuk suntikan vaksin ke kawasan yang terpilih.

“Kita difahamkan MOVAK di Melaka akan diadakan pada bulan ini juga yang mana tarikh sebenarnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas berhubung capaian suntikan vaksin di negeri ini, Abdul Ghafaar mengakui perjalanan vaksin di negeri ini masih lagi perlahan berikutan bekalan vaksin yang diterima begitu terhad.

Katanya, hal itu membuatkan bilangan rakyat yang menerima vaksin secara harian masih di bawah 10,000 orang.

“Masalah kita ialah bekalan. Jika bekalan itu sampai banyak, kita tiada masalah untuk memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk.

“Negeri kita kecil, tidak sampai satu juta penduduk, tetapi vaksin masih tak cukup yang mana untuk kita membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pun tidak kesampaian kerana barang (vaksin) itu tidak mencukupi,” katanya.

MOVAK di Melaka akan dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali esok, bertempat di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post Lima lelaki disyaki curi perkasas rumah inap desa diberkas
Next post Wanita pecah masuk lima stesen minyak ditahan
Ubah saiz-+=