Sorting by

×

Wanita disyaki dieksploitasi majikan diselamatkan polis

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR SETAR 14 Julai – Seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi oleh majikannya diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah kedai makan di Tandop, dekat sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Senior Asisten Komisioner Suresh Kumar berkata, wanita berusia 26 tahun itu diselamatkan pada 5.45 petang oleh sepasukan anggota polis daripada jabatan itu susulan aduan awam.

SAC Suresh Kumar. Foto IPK Kedah.

 

“Wanita yang berasal dari Medan, Indonesia itu telah bekerja selama empat tahun tanpa dibayar gaji dan bayaran kerja lebih masa. Selain itu, pasport mangsa juga telah disimpan oleh majikannya.

“Mangsa diselamatkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 untuk diletakkan di Rumah Perlindungan di bawah perintah perlindungan interim,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata polis turut menahan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 40-an yang merupakan majikan kepada mangsa bagi membantu siasatan.

Katanya, mangsa dan wanita tempatan berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 akta yang sama.

“Polis akan meneruskan usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian 04-7741403 sambungan 105,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post Polis siasat kes masjid diconteng cat merah
Next post Vaksinasi harian lebih 400,000 dua hari berturut-turut
Ubah saiz-+=