Sorting by

×

Rekod vaksinasi lebih 420,000 dos semalam, berita baik ke arah capai imuniti kelompok

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

KLANG 13 Julai – Kadar vaksinasi harian melebihi 420,000 dos semalam merupakan berita terbaik untuk negara dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini berita baik kerana ia (kadar vaksinasi harian itu) antara tertinggi di dunia dan kalau kita ikut fasa vaksinasi, saya jangka kita boleh capai untuk hampir semua yang perlu divaksinasi selesai sebelum akhir tahun ini dan nampaknya proses ini berjalan lancar,” katanya kepada media selepas melawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Untuk itu, perdana menteri turut mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada.

“Walaupun kita telah beli lebih tapi lambat sampai. Kalau ada lain yang boleh bekal contohnya Pharmaniaga boleh bekal tambahan dua ke tiga juta dos, kita akan beli. Ini komitmen kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam, jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 negara mencecah rekod tertinggi iaitu sebanyak 421,479 dos dengan pemberian dos pertama sebanyak 264,034 manakala dos kedua pula sebanyak 157,445 suntikan.

Muhyiddin berkata rekod menunjukkan peningkatan pemberian vaksin akan menurunkan kes dan ekonomi negara boleh meningkat.

“Langkah-langkah yang telah kita ambil ini agak berkesan dan saya yakin dengan sokongan semua pihak (kita) akan dapat mengatasi masalah ini,” kata perdana menteri sambil menambah bahawa beliau yakin negara akan memasuki ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

Dalam usaha menangani situasi jangkitan COVID-19 di Lembah Klang, Muhyiddin berkata beliau pada dasarnya bersetuju dengan permohonan sebanyak RM1.1 bilion daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan keupayaan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata jumlah itu telah dimohon Ketua Setiausaha KKM bagi pihak Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong, dan Kementerian Kewangan telah diminta supaya mempercepatkan kelulusan tersebut.

“Kita minta supaya runding cepat dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan supaya peruntukan yang dibuat secara berfasa itu dapat diluluskan dengan seberapa segera.

“Dengan tindakan sebegini saya harap situasi di Lembah Klang ini dapat kita uruskan dan tidaklah mencanak naik kes yang mana semalam pun dah turun sikit. Harapan kita agar akan terus turun kepada kadar yang lebih rendah,” kata beliau.

Bagi pengurusan COVID-19 di Lembah Klang, Muhyiddin berkata peruntukan sebanyak RM100 juta ditambah bagi aktiviti penyumberan luar dan RM20 juta untuk pengurusan kesihatan mental.

Selain itu, katanya, peruntukan tambahan juga diberi untuk penambahan ruang di hospital-hospital di Selangor sebanyak RM5 juta dan bayaran elaun COVID-19 bagi kakitangan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak RM1,000 sebulan.

Kerajaan juga bersetuju bagi penyediaan taska atau sewa bangunan untuk menempatkan anak-anak petugas barisan hadapan dengan peruntukan RM1.5 juta dan Pusat Kuarantin khas bagi petugas barisan hadapan dengan peruntukan RM2 juta, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post Bekas nelayan warga emas harap ihsan rakan
Next post Zuraida berharap Bella dapat pembelaan sewajarnya
Ubah saiz-+=