Bekas nelayan warga emas harap ihsan rakan
TANJUNG BIDARA 13 Julai – Sekumpulan nelayan di Pengkalan Balak, di sini merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu seorang rakan mereka yang kini hidup melarat dan mengalami sakit tua.
Nelayan terbabit, Abdul Wahid Kalok, 63, terpaksa menumpang di balai nelayan sejak beberapa tahun lalu kerana hidup sebatang kara.
Dengan keadaan fizikalnya semakin lemah dan tidak mampu mencari rezeki di laut, dia hanya terbaring di katil disediakan nelayan di balai itu.
Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 51, berkata sebelum ini Abdul Wahid mengambil upah menyirat atau menjahit pukat koyak, selain mengikat tali dan timah pada jaring kosong yang baharu dibeli nelayan.
“Kami memberi upah kepadanya setiap kali selesai menyirat tetapi sejak sebulan lalu, dia sering sakit dan kami beberapa kali mendapatkan perkhidmatan ambulans untuk membawanya ke Hospital Alor Gajah.
“Khamis lalu, saya terpaksa mengambilnya yang dibenarkan keluar dari wad selepas dirawat tiga hari akibat diserang sakit perut,” katanya di pangkalan nelayan Pengkalan Balak.
Sementara itu, Abdullah Atan, 69, pula berkata, walaupun sering membantu Abdul Wahid, kira-kira 10 nelayan di balai itu tidak mampu memberikan sepenuh perhatian kepadanya sepanjang waktu.
“Kebanyakan masa kami dihabiskan mencari rezeki di laut, tiada siapa yang boleh melihat keadaannya di balai.
“Kami amat berharap JKM meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya kerana bukan kami tidak sanggup menghulurkan bantuan kepadanya, tetapi jika dia boleh ditempatkan di institusi di bawah JKM, ia lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, pegawai JKM Daerah Alor Gajah akan menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Insya-Allah JKM akan menjalankan siasatan ke atas penama berkenaan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Jika tiada waris, JKM akan menempatkan warga emas terbabit di pusat penjagaan dan perlindungan warga emas Rumah Seri Kenangan, katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.