Disuntik picagari kosong, KKM tunggu laporan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman kini dalam peringkat memperkemaskan laporan berkenaan.
“Saya tidak berhubung dengan pengarah hospital tersebut, namun saya hanya diberikan pelaporan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor sahaja.
“Ini kerana hospital berkenaan adalah di bawah tindakan dan penyeliaan beliau untuk memperkemaskan segala yang telahpun berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini tiada arahan lanjut diberikan KKM terhadap hospital tersebut pada masa ini, kerana kes itu dalam siasatan polis dan kementerian sentiasa akur dengan siasatan yang dijalankan dan akan melihat keputusannya.
Mengulas lanjut Dr Adham berkata, operasi pemberian vaksin di hospital itu kini berjalan seperti biasa, dan kes berkenaan tidak akan mengganggu pengoperasian pemberian vaksin di hospital tersebut.
“Program pemberian vaksin ini tetap diteruskan, kerana ia tidak boleh mengganggu urusan pemberian vaksin. Kita (beberapa mukim) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.
“Jadi untuk mempercepatkan vaksin kita kena laksanakan terus. Apabila ada kes-kes begini, kita terima dan akan melihat apakah hasil siasatan,” katanya.
Pada 7 Julai lepas, dilaporkan tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong, ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin di sebuah hospital dan perkara itu disahkan polis Kuala Langat yang sedang menyiasat kes itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.