PRIHATIN: Tidak rakyat yang akan tercicir – PM
KUALA LUMPUR 13 Julai – Kerajaan akan memastikan tiada rakyat yang tercicir terutamanya golongan B40 dalam pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terdapat lebih daripada 53 agensi kerajaan di bawah Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang akan memantau pelaksanaan PRIHATIN di seluruh negara.
“Kita akan pastikan semua golongan terutamanya di Sabah dan Sarawak tidak akan tercicir dalam menerima bantuan kerajaan untuk meringankan beban mereka dalam menghadapi pandemik COVID-19,” katanya semasa menjawab soalan ahli parlimen Kota Semarahan Rubiah Wang semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan PRIHATIN bernilai RM250 billion, PRIHATIN Tambahan bernilai RM10 billion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 billion dalam usahanya untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata, berikutan krisis kesihatan global ini peratusan pengangguran dijangka meningkat, namun kerajaan akan memastikan impaknya kepada rakyat dapat dikurangkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
“Sememangnya pertumbuhan ekonomi negara akan mengalami penguncupan ketara dalam suku kedua disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ekonomi kita dijangka berkembang semula dalam suku ketiga dan keempat selepas pembukaan semula ekonomi,” katanya.
Jabatan Perangkaan Negara mengunjurkan bahawa kadar pengangguran bakal meningkat kepada 5.5 peratus disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik tersebut.
Menurut Muhyiddin, kerajaan juga sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi.
“Ini akan dibentangkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025 pada awal tahun 2021,” katanya.
— BERNAMA