Sorting by

×

Doa, bacaan Yasin untuk atlet berbasikal negara

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menganjurkan bacaan Yasin dan doa selamat buat jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di ibu pejabatnya, di Banda Hilir, Melaka, semalam.

Majlis disertai Pengurus pasukan berbasikal ke Olimpik Tokyo, Datuk Ashakari Abu Noor, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab dan presiden cawangan setiap negeri itu berlangsung selama kira-kira 45 minit melalui ‘Zoom Meeting’.

Menurut Ashakari, majlis bertujuan menyuntik semangat buat dua atlet terbabit serta mendoakan kesihatan mereka dalam keadaan terbaik sepanjang temasya sukan terbesar dunia itu.

ASHAKARI…majlis bertujuan menyuntik semangat buat dua atlet berbasikal negara yang akan beraksi di Olimpik Tokyo.

“Melalui perbualan kami tadi (semalam), beliau (Azizulhasni) memerlukan sokongan padu rakyat Malaysia dan mahu semua pihak mendoakan persiapannya dan Muhammad Shah Firdaus berjalan lancar serta berpeluang menang pingat emas di Olimpik Tokyo nanti,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Ashakari sebelum ini pernah mengalas tugas sama sebagai pengurus pasukan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 di Kalimantan, Indonesia dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus adalah pelumba negara berpangkalan di Melbourne, di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Australia, John Beasley.

Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman”, dijadual beraksi dalam acara kegemarannya, keirin dan pecut individu, manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut di Tokyo, Jepun nanti.

Penyertaannya di Olimpik Tokyo kali ini adalah kali keempat selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 dan kini berada pada ranking pertama pecut dan kedua keirin berdasarkan kemas kini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), baru-baru ini.

MOHD AZIZULHASNI (kanan), Muhammad Shah Firdaus dan John Beasley ketika sesi zoom meeting antara semua pengurus pasukan dengan atlet ke Sukan Olimpik, Tokyo.

Selain itu menurut Ashakari, pihaknya sentiasa memantau prestasi semasa Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara walaupun berdepan kekangan tidak dapat dapat berinteraksi secara fizikal ekoran pandemik COVID-19.

“Gara-gara pandemik COVID-19, semua pengurus dan pegawai sukan tidak dapat bersama dan mengiringi atlet ke Tokyo walaupun berhajat menghantar atlet ke lapangan terbang, kami tidak dibenarkan.

“Pada waktu inilah, atlet memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat Malaysia, cuma saya amat berharap penganjuran temasya ini tidak tertangguh sekali lagi,” ujarnya.

Katanya, Mohd Azizulhasni mempunyai pengalaman luas termasuk tiga kali beraksi di Olimpik, memiliki kekuatan dalaman serta ranking dunia, selain kematangan ketika berlumba dan bijak menilai serta mengatasi pesaing dari Eropah, Britain, Australia atau Jepun.

“Sewaktu berbual dalam zoom, Azizulhasni juga ada bercerita halangan, cabaran dan solusi yang diatur dalam menghadapi saingan di Olimpik nanti,” katanya.

Sementara itu, menurut Abu Samah, Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus kini dalam persiapan akhir di Nilai sebelum membawa cabaran negara.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian dua atlet tersebut yang berjaya melayakkan diri ke temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

“Saya yakin persediaan yang secukupnya sudah diambil oleh kedua-dua atlet sekali gus bakal menamatkan penantian emas pertama negara di Olimpik nanti, sama-samalah kita mendoakan kejayaan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas PAT.
Next post Melaka larang kemasukan pekerja asing baharu
Ubah saiz-+=