Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas PAT.

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) kelapan, Jeneral  Tan Sri Mohd Ghazali Che Mad yang meninggal dunia semalam.

Menurut kenyataan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih itu.

Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM serta negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan di tempatkan bersama solihin,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham dilahirkan pada 17 Disember 1930 di Lenggong, Perak dan memulakan latihan Pra-Pegawai Kadet di Federation Military School (FMC), Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1953.

Allahyarham kemudiannya terpilih menjalani Kursus Pegawai Kadet di Eaton Hall Cadet School, England selama enam bulan dan meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMA Sandhurst) selama 18 bulan bermula 1954.

Memulakan perkhidmatan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1958.

Sepanjang berkhidmat, beliau pernah bertugas sebagai PSO Military di Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Panglima Tentera Darat (1984-1985) dan PAT (1985-1987).

Selepas bersara, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

677
Kongsi :
Previous post Wanita ditemukan rentung dalam kebakaran kereta
Next post Doa, bacaan Yasin untuk atlet berbasikal negara
Ubah saiz-+=