KPDNHEP cuba atasi harga durian melambung
PENGKALAN BATU 12 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu harga durian yang didakwa keterlaluan.
Timbalannya Datuk Rosol Wahid berkata, beberapa perkara harus dilihat selain pihaknya juga perlu mendapatkan pandangan pakar dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam soal kawalan penetapan harga bagi durian.
Beliau berkata, pandangan itu perlu kerana raja buah itu terdiri daripada beberapa jenis antara Musang King, IOI dan D24.
“Kita sedang fikirkan cara untuk mengawal dan kalau harga (dikenakan) melampau tindakan akan diambil.
“Kita akan fikirkan cara atau pendekatan untuk memastikan rakyat tidak teraniaya dan peniaga tidak rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Program ‘Walkabout’ Pemantauan Harga Barang di Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee serta Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.
Menurut beliau, situasi menang-menang di antara peniaga dan pengguna akan menjadi keutamaan pihaknya dalam mencari kaedah terbaik bagi penyelesaian isu harga durian.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan diminta campur tangan memperkenalkan harga siling bagi durian klon, mengikut gred.