Sorting by

×

Padah jual lembu curi, lelaki Indonesia didenda RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 4 Jul – Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM3,000 kerana melupuskan harta curi iaitu seekor lembu jantan pada 8 Jun lalu.

Tertuduh, Ahyar, 42, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang dituduh pada 8 Jun lalu didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu seekor lembu jantan milik Nor Azizi Mohamed Sidin,39, dengan menjualnya kepada seorang lagi lelaki berusia 36 tahun dengan harga RM2,700.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah kebun getah tidak bernombor berhampiran kandang lembu di Kampung Kelubi, Jasin pada jam 11.30 pagi 8 Jun lalu.

Ahyar didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda rendah atas alasan dia dari keluarga susah dan menanggung anak serta isteri selain tidak mempunyai kerja tetap.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan pembantu awam di Hospital Jasin, Mazli Bakar, 53, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguamnya Peguam Izuddin Ab Malek merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM1,400 dan menanggung empat orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan sebutan semula kes 1 September ini untuk serahan dokumen.

Melaka Hari Ini (MHI) sebelum ini melaporkan dua lelaki termasuk penjawat awam ditahan selepas dipercayai melakukan kegiatan mencuri lembu di Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post Lebih RM600 juta bantuan telah disalurkan agensi agama- Zulkifli
Next post Sidang khas Dewan Rakyat lima hari mulai 26 Julai
Ubah saiz-+=