Tiada lambakan durian Jelebu di Melaka
TABOH NANING 5 Julai – Tiada lambakan durian Jelebu ke negeri ini akibat pembatalan tempahan bekalan durian dari daerah itu ke Selangor dan Kuala Lumpur setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua negeri itu.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar Simpang Ampat, Alor Gajah dan Masjid Tanah mendapati durian yang dijual oleh peniaga diambil daripada kebun sendiri selain dari Muar dan Segamat, Johor.
Seorang peniaga durian, Ong Chu Hwa berkata, dia tidak mengetahui adanya lambakan durian dari Jelebu dijual ke negeri ini disebabkan peniaga dari Kuala Lumpur dan Selangor membatalkan tempahan kerana pelaksanaan PKPD.
Menurutnya, rata-rata peniaga durian dari kawasan Alor Gajah memperoleh bekalan durian sama ada dari hasil kebun sendiri atau diambil dari Johor.
“Tiada pula saya dengar ada lambakan durian dari Jelebu, kalau ada mesti sudah riuh sekarang ini, mungkin lambakan durian hanya berlaku di Jelebu sahaja atau sekitar kawasan berdekatan.
“Setakat ini, bekalan durian dari kebun saya sendiri masih mampu menampung keperluan pembeli yang sebahagian besarnya datang dari sekitar Alor Gajah,” katanya.
Lambakan durian dijangka berlaku di negeri ini khususnya daerah Alor Gajah berikutan tindakan peniaga durian di Selangor dan Kuala Lumpur membatalkan tempahan bekalan mereka dari daerah Jelebu disebabkan pelaksanaan PKPD di kedua-dua negeri terbabit.
Sementara itu, seorang pembeli, M. Fadhil Sairi, 34, berkata, dia biasa membeli durian di Kampung Simpang Ampat memandangkan ia lebih murah dan yakin dengan kualiti durian yang ditanam di sekitar kawasan itu.
“Sebahagian besar durian ialah durian kampung dan peniaga durian juga sudah tidak asing dalam kalangan penduduk di sini, jadi kita sudah yakin dengan kualiti buah durian dijual.
“Sebelum ini ada juga mencari durian di kawasan Alor Gajah, kebanyakannya diambil dari Muar dan Segamat, Johor,” katanya.
Bagi Rasmizah Rosli, 28, tidak mustahil keluhan peniaga durian Jelebu itu benar-benar berlaku memandangkan kawasan Taboh Naning dan Simpang Ampat terletak berhampiran dengan daerah Jelebu.
“Boleh jadi benar berlaku (lambakan durian) tetapi setakat ini tiada pula saya dengar.
“Kalau betul ada lambakan pasti daerah Tabong Naning atau Alor Gajah heboh dengan peniaga durian yang sibuk menjual,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.