Tugu peringatan Puteri Diana dirasmikan sempena ulang tahunnya ke – 60
LONDON 2 Julai – Putera Britain, William dan Harry pada Khamis merasmikan tugu peringatan mendiang bonda mereka, Puteri Diana dalam satu upacara ringkas di Sunken Garden, Istana Kensington, London, sempena ulang tahun kelahiran ke-60 Diana, lapor Sputnik.
Tugu peringatan itu dibina atas permintaan William dan Harry pada 2017 ketika ulang tahun ke-20 kematian ibu mereka, kata pejabat akhbar Istana Kensington dalam satu kenyataan.
“Hari ini, sepatutnya ulang tahun ke-60 bonda kami, kami mengenang kasih sayangnya, kekuatan dan perwatakan lembutnya – yang juga menjadi inspirasi kepada dunia, mengubah banyak kehidupan menjadi lebih baik. Setiap hari, kami berharap bonda masih bersama kami, dan diharapkan tugu ini menjadi simbol kehidupan dan legasinya, ” ujar William dan Harry, dipetik daripada akaun Twitter rasmi The Duke dan Duchess of Cambridge.
Arca bersaiz manusia itu hasil ukiran Ian Rank-Broadley dan ukirannya menampilkan “sifat kelembutan dan kemanusiaan sambil mempamerkan kesan yang ditinggalkannya daripada generasi ke generasi.”
Taman Sunken – satu daripada tempat kegemaran Puteri Diana di Istana Kensington – direka semula sempena perasmian tugu peringatan itu. Dengan hasil sentuhan khas termasuk bunga kegemaran mendiang, Taman Sunken kini berwajah baharu sebagai simbolik penghormatan buat Puteri Wales itu.
Puteri Diana meninggal dunia pada usia 36 tahun dalam nahas jalan raya di Paris pada 21 Ogos 1997.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.