Sorting by

×

Pemandu 4×4 maut kenderaan dirempuh treler

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

ALOR GAJAH 3 Jul – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dirempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 22.3 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, M Mahendran, 50, yang bekerja sebagai operator disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu yang memandu treler jenis Sinotruk berusia 46 tahun tidak cedera.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi treler jenis Volvo namun pemandunya berusia 45 tahun juga tidak cedera.

ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong kenderaan pacuan empat roda yang remuk teruk di lokasi kejadian. Foto ihsan JBPM Melaka

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan berkenaan menghala arah ke selatan dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan treler jenis Volvo dalam perjalanan dari Klang menghala ke Johor manakala treler jenis Sinotruk dari Padang Besar menghala ke Singapura.

Katanya, sebelum kejadian berlaku, kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa berada di belakang treler Volvo dan mangsa sedang mengiringi treler berkenaan di lorong kiri lebuh raya terbabit.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler Sinotruk yang datang dari arah belakang merempuh kenderaan 4×4 dipandu mangsa sebelum kenderaan mangsa merempuh belakang treler di hadapannya.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu 4×4 parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Manakala kedua-dua pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Hassan Basri, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan hingga mengakibatkan kemalangan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan berselekoh dan mendaki bukit manakala cuaca baik namun tiada lampu jalan.

“Ketiga-tiga kenderaan itu dibawa ke balai polis sama untuk sisatan lanjut termasuk menjalankan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

KEADAAN pacuan empat roda dipandu mangsa yang remuk teruk akibat dirempuh treler Foto ihsan JBPM Melaka.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Nazri Mohd Rais berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.53 pagi.

Katanya, anggota bomba bagaimanapun berdepan kesukaran berikutan terpaksa membuat pusingan U di Plaza Tol Pedas – Linggi untuk tiba di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 3.57 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post ‘Jadi sukarelawan MyVac lebih seronok daripada jaga kedai’
Next post MAQIS tahan kontena bawa daging kerbau beku dari India tanpa permit
Ubah saiz-+=