23 Pos Rider Melaka kesal ditamatkan kontrak waktu PKP 3.0
AYER KEROH 1 Jul – Terpaksa melabur wang simpanan selain berdepan hutang bulanan sehingga RM15,000 untuk membeli van, usaha dan pengorbanan 23 ejen serahan Pos Rider ‘ternoktah’ begitu sahaja selepas ditamatkan kontrak oleh Pos Malaysia hari ini.
Lebih memeritkan, penamatan kontrak itu berlaku ketika rakyat berdepan dengan keadaan sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berdepan kehilangan pendapatan.
Seorang ejen serahan, Muhammad Yusuf Asyraf Ali, 25 dia diberikan notis penamatan menerusi emel pada 21 Jun lalu memaklumkan perkhidmatannya tamat pada hari ini, yang didakwa kurang daripada tarikh sepatutnya tamat iaitu dalam tempoh 14 hari.
Dia yang berkhidmat hampir setahun lalu, berkata, dia kesal dengan tindakan syarikat penghantaran itu yang tidak memaklumkan penamatan kontrak lebih awal berikutan dia berdepan kesukaran untuk mencari punca pendapatan lain.
“Isteri saya bakal melahirkan cahaya mata pertama tidak lama lagi, hendak cari kerja ketika PKP ini pun susah kerana banyak syarikat mengurangkan pekerja serta tidak mengambil pekerja baharu.
“Malah, ada dalam kalangan kami terpaksa berhutang untuk membeli van malah saya sendiri terpaksa meminjam kepada bapa saya menggunakan wang pencennya untuk membeli van serta menampung kos membaik pulih kenderaan, yang keseluruhannya mencecah RM20,000,” katanya ketika ditemui di hadapan Pusat Serahan Pos Laju Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi ejen serahan, Muhammad Naim Ghani, 29 berkata syarikat penghantaran itu menjanjikan perkhidmatan menjadi ejen serahan adalah pendapatan jangka masa panjang dan lantaran itu, dia menerima tawaran itu bagi menjana pendapatan keluarga.
“Sehingga ke hari ini, kami sentiasa menjaga nama dan imej baik Pos Laju serta menghantar barangan mengikut jadual, jadi tindakan mereka menamatkan kontrak amatlah tidak wajar pada waktu PKP ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf Asyraf berkata, dia sudah bertanyakan berhubung penamatan kontrak itu kepada Pos Laju negeri namun pihak itu memaklumkan tidak mengetahui mengenai perkara itu sebaliknya ia adalah arahan daripada ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun katanya, dia berharap syarikat penghantaran itu mengkaji semula kaedah penamatan kontrak untuk melanjutkan kontrak hingga tamat PKP 3.0.
“Sekiranya pihak mereka tidak perlukan kami, berilah kami pampasan supaya kami dapat membayar semula hutang van kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.